JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Beg Batik ASEAN: Simbol Kenangan Dan Semangat 14 Pekerja OKU Butik TAPAi

16/05/2025 10:16 AM

Oleh Balqis Jamaludin

MARANG, 16 Mei (Bernama) -- Penghasilan hampir 2,000 beg batik untuk delegasi Mesyuarat ASEAN 2025 menjadi pengalaman bermakna buat 14 pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) di Butik TAPAi, Wakaf Tapai, yang terlibat secara langsung dalam projek tersebut sejak awal tahun ini. 

Walaupun berdepan tempoh menyiapkan tempahan yang singkat, iaitu sekitar dua hingga tiga bulan, kumpulan pekerja istimewa berusia 16 hingga 34 tahun itu menggalas tanggungjawab dengan penuh semangat dan dedikasi. 

Menurut Siti Zulaikha Abd Muin, 34, antara kenangan paling bermakna baginya ialah saat terpaksa bermalam selama beberapa hari di butik demi menyiapkan tempahan mengikut jadual ditetapkan. 

“Sepanjang Januari hingga Mac lepas, kami banyak habiskan masa di butik. Ibu bapa datang bawa pakaian setiap hari dan saya ingat saat makan mi segera pada 2 atau 3 pagi bersama cikgu dan kawan-kawan.

“Nampak remeh, tapi itulah kenangan manis, semuanya kerana tempahan untuk persidangan ASEAN ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Butik TAPAi.

Siti Zulaikha yang dilahirkan dengan kecacatan fizikal merupakan antara pekerja tetap di butik mengusahakan produk kraftangan batik dan songket termasuk beg, aksesori dan cenderamata. 

Seorang lagi pekerja, Aishatul Radhiah Mohd Abdul Ghani, 34, yang merupakan individu pekak dan bisu, menyifatkan projek ASEAN sebagai peluang membuktikan keupayaan OKU dalam menghasilkan produk berkualiti. 

“Bukan mudah untuk hasilkan kuantiti yang banyak dalam masa singkat, tetapi dengan kerjasama semua, kami berjaya siapkan tempahan. Lebih teruja apabila tengok dalam berita, beg buatan kami digunakan oleh delegasi ASEAN,” katanya dalam bahasa isyarat diterjemahkan oleh Siti Zulaikha.

Menurut Pengurus Butik TAPAi, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim kesemua tempahan bagi projek ASEAN diterima daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, bermula secara tidak rasmi melalui kenalan. 

“Antaranya, pada awal tahun ini kami dapat tempahan 200 unit beg galas batik daripada satu kementerian. Selepas siap projek tersebut, pada bulan Mac kami dapat tempahan 300 unit beg batik jenis yang sama daripada kementerian lain pula. 

“Tidak lama selepas itu ada pihak dari sebuah agensi kerajaan yang menghubungi saya kerana ingin menempah 1,000 beg fail dan beg kecil serta lanyard. Alhamdulillah kami dapat siapkan semuanya mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata persidangangan ASEAN dipengerusikan Malaysia pada tahun ini turut memberi limpahan rezeki kepada pekerja OKU di butik berkenaan kerana menerima upah yang lebih banyak daripada biasa hingga mencecah RM5,000, bergantung kepada jumlah kerja disumbangkan. 

Butik TAPAi yang terletak di pekan kecil di Wakaf Tapai itu mula beroperasi sejak 2017 hasil geran permulaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM18,000 di bawah Projek Pemerkasaan Ekonomi OKU.

Kini, ia menggaji 14 pekerja OKU, termasuk individu menghidap sindrom down dan autisme, dan dibimbing oleh lapan guru iaitu dua guru khas dari Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad dan enam guru dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK Wakaf Tapai).

“Kehadiran pekerja OKU bergantung kepada keadaan kesihatan dan emosi mereka. Namun, setiap individu ada kemahiran tersendiri yang kami hargai,” kata Wan Nur Akmal. 

Selain beg dan lanyard, antara produk lain dihasilkan termasuk pengikat rambut, jam dinding, tali leher serta beg tangan yang kesemuanya menampilkan rekaan batik dan songket tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan