JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tukang Urus Jenazah Bersyukur Ada Individu Taja Tunai Haji

15/05/2025 04:34 PM

KULAI, 15 Mei (Bernama) -- Seorang tukang urus jenazah yang menunggu panggilan haji selama 14 tahun tidak menyangka menjadi insan terpilih ke Tanah Suci tahun ini.

Rohaya Abdul Kadir, 69, berkata pemergiannya untuk menunaikan ibadah berkenaan ditaja seorang wanita sebagai tanda kesyukuran dirinya kembali pulih selepas 25 hari dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19. 

Rohaya yang tidak mahu mendedahkan nama insan berhati mulia itu menyifatkan tajaan berkenaan hadiah paling bermakna diterima dalam hidupnya.

"Saya pernah ditidurkan selama 25 hari di ICU Hospital Sultanah Aminah akibat COVID-19 pada 2020.

"Individu itu terlampau gembira saya kembali sihat dan berhasrat menaja saya ke Tanah Suci," katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Bagi Tahun 1446H/2025M di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah.

Rohaya yang menjadi tukang urus jenazah di Masjid Pulai Utama sejak 2017 berkata ujian menghidap COVID-19 memberikan tamparan yang hebat buat dirinya terutama nikmat dalam mensyukuri kehidupan.

"Selepas diuji, Allah beri saya nikmat kehidupan dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa, ditambah pula ada orang hendak menaja ke Tanah Suci. Saya rasa sangat bersyukur, sedangkan semasa sakit pun tidak putus orang beri sumbangan," katanya.

Rohaya yang akan ke Tanah Suci bersama suaminya antara 142 jemaah haji dari negeri yang berlepas ke Makkah hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan