JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MyAsli Mohon Kerajaan Iktiraf Jurubahasa Isyarat Sebagai Kerjaya Profesional

14/05/2025 06:50 PM

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli) memohon agar kerajaan mengiktiraf profesion jurubahasa isyarat sebagai kerjaya profesional secara rasmi di negara ini.

Presiden MyAsli Wan Zuraidah Abu berkata walaupun peranan jurubahasa isyarat amat penting dalam menjamin akses komunikasi yang adil bagi komuniti pekak, namun profesion itu belum diberi pengiktirafan sewajarnya.

Beliau berkata masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak memahami peranan sebenar jurubahasa isyarat dengan beranggapan mereka sebagai guru atau jurucakap, sedangkan mereka berperanan penting selaku pengantara komunikasi dalam menyampaikan maklumat kepada komuniti pekak.

“Jurubahasa isyarat bukan sekadar penterjemah, tetapi jambatan antara komuniti pekak dan masyarakat umum, penyampai maklumat dalam situasi kritikal serta memberi hak kepada mereka untuk berkomunikasi dan mendapat akses kepada maklumat secara adil.

“Kita tidak menafikan profesion ini belum diiktiraf malah jurubahasa isyarat masih berdepan kekurangan peluang latihan berkualiti, tiada sistem akreditasi kebangsaan yang mantap dan ada masanya tidak diberikan ganjaran setimpal dengan kepakaran serta tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Seminar Kebangsaan Jurubahasa Isyarat dan Jemputan ASEAN 2025 di sini hari ini, yang dirasmikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran.

Wan Zuraidah berkata ketika ini jumlah jurubahasa isyarat aktif di seluruh negara hanya sekitar 60 orang termasuk jurubahasa sepenuh masa, guru yang membantu secara sambilan serta jurubahasa bebas, dan jumlah itu jelas belum mencukupi bagi memenuhi keperluan lebih 44,000 orang dalam komuniti pekak di Malaysia. 

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya memperjuangkan supaya profesion jurubahasa isyarat diiktiraf secara rasmi dengan standard kerja, struktur gaji dan peluang kerjaya yang jelas, sekali gus menarik lebih ramai menceburi bidang itu secara serius.

Seminar Kebangsaan Jurubahasa Isyarat berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, membabitkan penyertaan 80 jurubahasa isyarat dari Malaysia dan negara ASEAN seperti Thailand, Filipina, Brunei serta Vietnam, yang terdiri daripada jurubahasa isyarat profesional, pendidik, perundangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil komuniti pekak.

Seminar itu turut menjemput wakil dari New Zealand dan United Kingdom untuk berkongsi kajian serta pengalaman mereka mengenai pembangunan jurubahasa komuniti.

Penganjuran seminar itu bertujuan memperkasakan peranan jurubahasa isyarat dalam menyampaikan maklumat secara saksama, tepat dan inklusif dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perundangan, perubatan dan media. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan