TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- Waris kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini pagi tadi akan menerima bantuan kewangan antara RM58,000 hingga RM269,700.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata bantuan kewangan berkenaan akan disalurkan secepat mungkin melalui beberapa tabung kebajikan termasuk pampasan insurans.
Ayob Khan berkata waris kepada anggota yang meninggal dunia akan mendapat bantuan kewangan daripada Tabung Kebajikan sebanyak RM1,200, Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (RM25,000) dan skim ex gratia bencana kerja PDRM (RM20,000).
"Waris turut akan menerima sumbangan kewangan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sebanyak RM11,000 dan bagi anggota yang mencarum dalam koperasi PDRM akan menerima bantuan khairat kematian (RM1,500) dan pampasan insurans bernilai antara RM36,000 hingga RM211,000 mengikut caruman masing-masing," katanya.
Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini, Ayob Khan turut memaklumkan anggota yang cedera pula menerima pampasan dan bantuan kewangan, namun tertakluk kepada penilaian pakar perubatan.
Beliau berkata bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kebajikan anggota sentiasa diutamakan, terutama apabila bencana dan musibah berlaku terhadap mereka ketika bertugas.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata lapan daripada sembilan anggota FRU yang terkorban akan dikebumikan di Perak termasuk di Taiping, Kampar dan Ipoh manakala seorang lagi akan disemadikan di Kulim, Kedah.
"Tiga doktor terlibat dalam menjalankan bedah siasat terhadap mangsa kemalangan berkenaan dan dijangka proses bedah siasat terhadap semua mangsa selesai pada 11 malam ini," katanya.
Ayob Khan berkata semua jenazah akan dibawa ke surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk disolatkan sebelum dibawa ke Markas Unit 5, FRU Sungai Senam, Ipoh untuk diberikan penghormatan terakhir.
Laporan penuh siasatan berhubung kemalangan itu, katanya dijangka dilengkapkan dalam masa terdekat selepas mendapat maklumat daripada beberapa agensi lain, seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Sementara itu, beliau berkata polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu di Mahkamah Teluk Intan esok.
"Suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan empat melibatkan jenayah mencuri, satu melibatkan kesalahan rogol dan satu kesalahan dadah. Semua kesalahan ini bagaimanapun telah dihukum," katanya.
Dalam kemalangan pada 8.50 pagi, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini.
Mereka yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Kenderaan membawa 18 anggota FRU ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial