JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sabah Memerlukan 120,000 Unit Darah Setahun

13/05/2025 06:06 PM

KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) -- Sabah memerlukan antara 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit di negeri itu namun hanya sekitar 75,000 unit darah yang berjaya dikumpul setiap tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata secara purata negeri itu memerlukan kira-kira 300 unit darah sehari bagi membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah.

“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam menjadi penderma darah tetap,” katanya pada sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah di Hospital Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.

Tambah beliau kerajaan negeri sentiasa menghargai dan menyokong jururawat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat. 

“Selaras dengan tema tahun ini iaitu ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat  Mengukuhkan Ekonomi',  peranan jururawat bukan sekadar sebagai penjaga pesakit di hospital  malah mereka pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan