JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Gerakan Koperasi ASEAN Perlu Diperkasa, Beri Sumbangan Signifikan Kepada KDNK - Ewon

13/05/2025 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei  (Bernama) -- Gerakan koperasi di negara-negara ASEAN memainkan peranan penting memperkasakan ekonomi serantau, selain menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata setakat Disember lepas, perolehan gerakan koperasi Malaysia merekodkan sebanyak RM68.2 bilion dengan aset bernilai RM173.3 bilion.

“Jaringan kerjasama antara koperasi perlu diperluaskan dengan koperasi dalam kalangan negara ASEAN supaya perolehan yang dijana tidak hanya dihasilkan dalam negara, tetapi juga boleh diperluaskan di luar negara.

“Saya ingin melihat keupayaan koperasi ini seperti keupayaan perusahaan-perusahaan syarikat besar negara yang menembusi pasaran antarabangsa untuk produk dan perkhidmatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Koperasi ASEAN (ACD 2025) di sini hari ini. 

Turut hadir Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah merangkap Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). 

Mengulas lanjut, Ewon berkata penyertaan koperasi Malaysia bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekspo perdagangan di Arab Saudi pada tahun lepas antara usaha memperkasakan gerakan koperasi.

“Tahun ini, kita akan menyertai beberapa ekspo termasuk di Osaka, Jepun pada bulan depan dan saya ingin melihat penyertaan Malaysia bukan hanya dalam kalangan syarikat besar dan PKS, tetapi turut melibatkan penyertaan koperasi.

“Berdasarkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030), kita mempunyai sasaran perolehan yang lebih besar menjelang 2030. Saya percaya ia boleh dicapai dan tidak harus dalam negara sahaja, kita kena galakkan, bantu, bimbing dan sokong sepenuhnya koperasi-koperasi ini untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. 

Terdahulu, menerusi pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Timor Leste Araenio Pereira Da Silva, Ewon berkata negara itu berharap agar kerjasama terkait dengan pembangunan kapasiti koperasi antara kedua-dua negara dapat dibangunkan dalam bentuk memorandum persefahaman.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata antara resolusi yang ingin dicapai menerusi ACO 2025 adalah mengiktiraf ACO sebagai platform rasmi untuk gerakan koperasi.

“Selain itu, kita mahu mengangkat koperasi sebagai sektor ketiga pembangunan sosioekonomi untuk ASEAN selain memperbaiki ekosistem perniagaan gerakan koperasi.

“Resolusi yang dimuktamadkan esok akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini,” katanya. 

ACD 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Angkasa dengan sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menghimpunkan badan koperasi utama dari seluruh rantau ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan