JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hari Wesak Disambut Meriah Dan Harmoni Di Seluruh Negara

12/05/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wesak hari ini diraikan dengan penuh meriah dan harmoni apabila penganut Buddha memenuhi tokong-tokong di seluruh negara bagi melaksanakan upacara keagamaan.

Di ibu negara, penganut Buddha mula mengunjungi Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields sejak 8 pagi bagi menunaikan upacara keagamaan serta memberikan penghormatan sempena kelahiran, pencerahan dan pemergian Siddharta Gautama, pengasas agama Buddha.

Sambutan itu turut disertai pelancong asing dan warga tempatan yang ingin merasai suasana serta mendalami makna Hari Wesak.

Seorang pengunjung tempatan beragama Hindu, M. Rajan, 45, berkata kehadirannya adalah sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan beragama Buddha dan untuk lebih memahami kepercayaan mereka.

“Malaysia ialah negara berbilang kaum dan agama. Saya rasa penting untuk kita saling menghormati dan meraikan perayaan bersama. Ini juga satu cara untuk memupuk keharmonian,” katanya kepada Bernama.

Pelancong dari Filipina, Jonathan Reyes, berkata beliau mengunjungi tokong itu semasa melancong ke Malaysia bagi mengenali budaya tempatan dan perayaan keagamaan.

“Saya suka melihat suasana yang tenang dan penuh rasa hormat. Saya bukan penganut Buddha, tetapi berada di sini hari ini membantu saya memahami dan menghargai kepelbagaian spiritual di Malaysia,” katanya.

Di SELANGOR, orang ramai membanjiri Tokong Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat, yang menjadi antara tumpuan utama ribuan penganut Buddha setiap kali sambutan Hari Wesak.

Pengurus tokong, Miao Yue, 52, berkata kira-kira 30,000 penganut hadir ke tokong itu, yang telah memulakan upacara keagamaan serta penghormatan kepada kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Siddharta Gautama sejak Sabtu lepas.

Di PERAK, tinjauan Bernama di Enlightened Heart Tibetan Buddhist Temple, Tambun mendapati ribuan penganut Buddha menunggu giliran untuk menyalakan colok, menabur bunga dan memandikan patung Buddha, dengan kehadiran pelancong asing yang turut sama menyertai sambutan tersebut.

Wat Siribunya Maggarama di Jalan Raja Dihilir, Ipoh turut dipenuhi penganut Buddha yang datang dari pelbagai latar belakang bersama keluarga mereka seawal 8 pagi, sambil membawa jambangan bunga dan barangan keperluan asas seperti beras untuk didermakan kepada tokong.

Di PULAU PINANG, tinjauan mendapati Wat Chaiya Mangalaram di Lorong Burma, Wat Buppharam di Jalan Perak dan Kek Lok Si di Air Itam dipenuhi pengunjung seawal 8 pagi.

Sambutan meriah turut disaksikan di bangunan Persatuan Buddha Malaysia (MBA) dekat Jalan Burma, dengan penganut pelbagai peringkat usia menunaikan upacara keagamaan antaranya menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai.

Di PERLIS, Hari Wesak disambut meriah dengan ribuan penganut Buddha memenuhi bangunan Perlis Buddhist Society, Kangar untuk menunaikan upacara keagamaan yang diketuai 28 sami.

Pengerusi berkenaan Tan Chan Sin berkata perarakan kereta berhias akan diadakan pada sebelah malam sebagai kelainan sempena sambutan tahun ini.

Di SARAWAK, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng hadir memeriahkan sambutan Hari Wesak di bangunan Persatuan Buddha Sarawak, Kuching.

Di KELANTAN, Wat Prachumthat Chanaram di Tumpat menjadi tumpuan utama penganut Buddha dari seluruh negara sempena sambutan Hari Wesak yang diraikan secara meriah dan penuh keinsafan.

Wat tersebut, yang menjadi lokasi sambutan tahunan sejak lebih 40 tahun lalu, menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk perarakan membawa jambangan bunga dan lilin mengelilingi candi sebanyak tiga kali sebagai simbol penghormatan terhadap kehidupan Siddharta Gautama.

Ahli jawatankuasa wat, Thom Ija, 67, berkata hampir 200 penganut hadir sejak malam tadi bagi menyertai upacara keagamaan yang diteruskan hingga esok, melibatkan pengunjung dari luar Kelantan termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

Seorang pengunjung dari Selangor, Kok, 69, berkata beliau sanggup menempuh perjalanan jauh setiap tahun kerana suasana damai di wat berkenaan, selain dapat mengunjungi beberapa wat lain sebagai tanda penghargaan terhadap ajaran Siddharta Gautama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan