JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Rahayu Cekal Lawan Penyakit Demi Jaga Suami Terlantar, Anak Derita Kanser

12/05/2025 10:38 AM

KUALA KRAI, 12 Mei (Bernama) -- Hati wanita mana yang tidak luluh tatkala dua insan disayangi yang sentiasa menjaganya siang dan malam satu demi satu turut diuji menanggung derita melawan penyakit yang dihadapi.

Rahayu Daud, 51, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik hampir empat tahun lalu berkata dia sebelum ini sentiasa ditemani suami, Mazlan Latif, 61, dan anak tunggal mereka, Muhamad Adam Aizad Mazlan, 16, ketika menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.

Bagaimanapun, dia berkata pada Ogos 2022, suaminya rebah akibat serangan strok ketika membayar bil rawatan dialisis buah pinggang di HSIP dan hingga kini terlantar di rumah serta memerlukan penjagaan rapi.

"Selepas suami sakit, anak pula menggalas tanggungjawab menjaga saya dan ayahnya dengan mengurus keperluan di rumah dan sebagainya.

"Tetapi pada Jun lepas, anak saya pula disahkan menghidap kanser tulang (osteosarcoma) dan masih mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu," katanya ketika ditemui Bernama.

Rahayu berkata dunianya terasa gelap ketika mendapat tahu tentang penyakit anaknya dan mengenang nasib yang menimpa keluarganya, ujian demi ujian diberikan Allah, namun dia perlu reda dan kuat mengharungi perjalanan hidup.

"Air mata saya dah kering untuk meratapi kesedihan...kekuatan saya adalah suami dan anak. Walaupun sakit saya perlu kuat untuk menjaga mereka dan tidak mahu sakit saya ini menjadi penghalang.

"Kalau dulu selepas buat rawatan dialisis tiga kali seminggu badan saya akan berasa letih dan terpaksa berehat tapi sekarang saya kena kuat lawan untuk jaga suami dan anak," katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Wanita itu berkata apabila anaknya masuk ke hospital untuk menerima rawatan, dia yang akan menjaganya di hospital manakala suami akan dijaga oleh anak saudara.

"Begitulah rutin hidup kami, hospital ibarat rumah kedua kalau bukan saya masuk hospital anak saya pula yang akan masuk hospital. Apa pun saya bersyukur sebab dapat bantuan daripada agensi kerajaan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Sementara itu, Muhamad Adam Aizad berkata kata-kata yang sering diucapkan ibunya akan terus menjadi pembakar semangat untuk dia berjuang melawan penyakit kanser yang dihidapi.

"Mak saya sentiasa pesan untuk teruskan hidup, tengok arah kebaikan dan sentiasa berfikiran positif, sakit bukan penghalang untuk berjaya," katanya.

Sempena hari ibu yang diraikan semalam, Muhamad Adam Aizad sempat menitipkan kata-kata khas buat ibunya walaupun sudah dua minggu berada di HSIP kerana menjalani rawatan.

"Ketika aku tak lagi mampu melangkah, engkau mengorbankan tenagamu, meskipun tubuhmu sendiri hampir rabah, meski hidup menikammu dengan ribuan ujian...engkau tetap berdiri teguh, gagah dalam tangisan, tabah dalam luka demi aku dan abah.

"Tiada yang mampu menandingi cinta dan pengorbananmu wahai ibu, bidadari tanpa sayapku," tulisnya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan kepada keluarga Rahayu boleh menyalurkannya ke nombor akaun Bank Islam 03072022201780 atas nama Rahayu Daud atau menghubunginya di talian 019-5806861.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan