JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PMR Bantu Usahawan, Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Domestik - Hajiji

11/05/2025 07:06 PM

TAWAU, 11 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memuji usaha membawa Program MADANI Rakyat (PMR) ke peringkat daerah kerana ia berupaya membantu usahawan meningkatkan pendapatan dan merangsang ekonomi domestik.

Beliau berkata golongan usahawan tempatan dan rakyat secara umumnya mendapatkan maklumat berkaitan program keusahawanan, sekali gus mempromosikan produk tempatan kepada masyarakat luar menerusi program seperti itu.

“Usaha ini juga sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat dan aktiviti mempromosi program-program pembangunan Kerajaan MADANI tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan PMR 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Hajiji berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) akan terus membawa program seumpama itu ke Sabah, sekali gus membantu memperkasakan pembangunan keusahawanan di negeri berkenaan.

Beliau berkata antara inisiatif keusahawanan yang direncana di Sabah seperti Projek Premis Tamu Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana oleh SME Corporation Malaysia memberi impak positif kepada lebih 50,000 usahawan.

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan, modal dan pemantauan menyeluruh,” katanya.

Hajiji juga mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat diperluaskan dengan mempertimbangkan membuka lebih banyak cawangan atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM di kawasan luar bandar.

Beliau berkata di peringkat negeri Sabah juga, beberapa program yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia, antaranya Skim Jaya Usahawan Belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Bagi belia serta lepasan universiti, Hajiji berkata antara program ditawarkan ialah Bengkel Skim Usahawan Siswazah dan Bengkel Skim Usahawan Teknikal, yang masing-masing menyasarkan belia lepasan universiti dan institusi vokasional atau kemahiran di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Usaha Maju, sebuah agensi yang diwujudkan sejak 1995 terus membantu golongan peniaga dengan menawarkan pinjaman mikro kepada kumpulan sasar termasuk usahawan wanita, yang memerlukan modal untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sabah berjaya mengurangkan kadar miskin dan miskin tegar secara signifikan dan terus komited untuk merancakkan lagi program berkenaan.

Sementara itu, Hajiji berharap hubungan erat yang sedia terjalin antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan.

“Kita optimis, kerjasama dan hubungan akrab antara kedua-dua kerajaan, negeri dan Persekutuan, adalah kunci kepada kejayaan kita bersama dalam mencapai matlamat masyarakat MADANI iaitu masyarakat yang progresif, berilmu, berintegriti dan hidup dalam suasana makmur dan harmoni,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan