JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tiga Penyelidik UniMAP Harumkan Nama Negara Di Romania

11/05/2025 04:38 PM

KANGAR, 11 Mei (Bernama) -- Tiga penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selepas berjaya meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas pada Pameran Kreativiti dan Inovasi Eropah (EUROINVENT) 2025 di Iasi, Romania.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata kejayaan membanggakan itu dicapai Prof Madya Dr Rozyanty Rahman, Prof Madya Dr Dewi Suriyani Che Halin dan Prof Madya Dr Muhammad Mahyiddin Ramli, yang masing-masing membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi sehingga menarik perhatian juri antarabangsa pada pameran inovasi berprestij dari 8 hingga 10 Mei itu.

“Ketiga-tiga mereka bukan sahaja dianugerahkan Pingat Emas, tetapi turut menerima Anugerah Khas EUROINVENT, Anugerah Khas Poland dan Anugerah Khas Taiwan atas kecemerlangan dan kebolehgunaan inovasi yang diketengahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata produk inovasi yang diketengahkan Rozyanty ialah biokomposit hibrid mesra alam dengan keupayaan pemulihan diri untuk tangki penyimpanan bahan api bawah tanah, manakala Dewi Suriyani membentangkan inovasi permukaan antikotoran iaitu modifikasi permukaan pintar TiO2 serta inovasi Muhammad Mahyiddin pula adalah penderia gas daripada bahan buangan pokok kelapa sawit.

Beliau berkata lebih membanggakan ketiga-tiga penyelidik itu turut diberikan penghormatan sebagai pembentang jemputan pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Inovatif (ICIR) kali ke-11 yang turut dianjurkan bersama UniMAP.

“Persidangan ini menyaksikan sebanyak 148 artikel penyelidikan diterima dan diterbitkan dalam beberapa jurnal terindeks serta prosiding akademik, mencerminkan tahap kualiti dan impak penyelidikan yang dibawa oleh peserta-peserta antarabangsa,” katanya.

EUROINVENT 2025 dianjurkan Romanian Inventors Forum bersama Europe Direct Iasi yang menghimpunkan lebih 25 negara termasuk negara-negara dari Eropah, Asia dan Timur Tengah menjadi platform penting bagi penyelidik, pencipta dan ahli akademik antarabangsa untuk mempamerkan hasil ciptaan, menilai potensi komersial serta menjalin kolaborasi merentas sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan