JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Ramanan Tekad Bawa Suara Malaysia MADANI Seiring Teras Utama Parti 

11/05/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R. Ramanan yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR bertekad membawa suara Malaysia MADANI seiring teras utama parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata PKR merupakan sebuah parti yang mendahulukan, mengutamakan dan meraikan semua kaum menerusi proses perkongsian kuasa dalam kepimpinan parti, daripada peringkat cabang, negeri dan pusat.

Ramanan yang turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata keputusan itu diambil atas keyakinan bahawa PKR sebagai parti berbilang kaum harus terus diperkukuh dengan suara dan aspirasi semua lapisan masyarakat.

"Saya komited untuk membawa suara anggota KEADILAN ke arus perdana kepimpinan parti, memastikan inklusiviti, keadilan, dan peluang yang saksama untuk semua.

"Saya percaya KEADILAN perlu memperkukuh peranannya sebagai wadah politik progresif yang benar-benar mewakili kepelbagaian rakyat Malaysia dengan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menyeru semua anggota PKR untuk bersama-sama dalam perjuangan sebagai satu pasukan iaitu ‘Pasukan Anwar Ibrahim’.

Beliau berkata pemilihan kali ini bukan sekadar memilih kepimpinan, tetapi menentukan hala tuju parti dalam mengekalkan idealisme reformasi yang dijunjung selama ini, selain membantu kepimpinan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri, untuk terus membawa perubahan kepada negara.

"Dengan dukungan kalian, kita akan terus maju sebagai parti yang benar-benar mewakili suara rakyat Malaysia MADANI seiring dengan Gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Pada 24 Mac lepas, Ramanan mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu Mei ini bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi PKR dari peringkat akar umbi sehinggalah pimpinan pusat terutama dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan