JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MARDI Anjur ShowTech 2025 Pamer Teknologi, Inovasi Pertanian

08/05/2025 04:03 PM

SERDANG, 8 Mei (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan menganjurkan program Showcase Teknologi (ShowTech) 2025 selama lima hari bermula 29 Mei ini yang akan menampilkan pameran berkaitan teknologi dan inovasi pertanian terkini.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata program di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu merupakan platform terbaik untuk masyarakat dan pemain industri melihat sendiri hasil penyelidikan MARDI.

“Kita akan pamerkan 188 teknologi yang merangkumi lapan kluster dan kita juga bawa 148 usahawan untuk menjual hasil produk mereka,” katanya pada taklimat media berhubung acara berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata antara kelainan utama penganjuran tahun ini ialah peluasan kawasan pameran dan aktiviti interaktif untuk pengunjung, termasuk pengalaman memetik sayur secara langsung.

“MARDI menyasarkan kehadiran 500,000 orang ke pameran itu, termasuk dalam kalangan petani, penternak, usahawan, pelajar serta masyarakat,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata ShowTech 2025 merupakan platform penting bagi MARDI memperkenalkan hasil penyelidikan yang sebelum ini tidak diketahui ramai.

“Sebagai contoh, MARDI mengeluarkan 58 varieti padi yang ditanam oleh 95 peratus petani di Malaysia, tetapi nama MARDI tidak ada (dipamerkan). Jadi dengan adanya ShowTech ini, kita dapat memberitahu kepada orang ramai mengenai sumbangan MARDI,” katanya.

ShowTech MARDI 2025 akan diadakan dalam tiga zon utama iaitu Zon A yang merangkumi Dewan A dan kawasan sekitarnya di MAEPS, Zon B yang menempatkan laluan pertanian moden dan showplot tanaman serta Zon C untuk laman ternakan, laman herba, laman kelulut dan laman sayur.

Pengunjung juga berpeluang menyertai acara sampingan seperti pertandingan larian dan memancing, selain melihat produk ternakan seperti baka lembu, kambing dan ayam.

MARDI turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti interaktif sempena cuti persekolahan termasuk aktiviti untuk kanak-kanak seperti Earth Hero, Agro EduGenius dan bengkel membuat wau melalui program AgroCulture.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan