JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pemaparan Harga Ubat Bolehkan Penyedia Insurans Buat Bandingan, Rundingan Lebih Adil

06/05/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Langkah penandaan harga ubat di kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan farmasi bukan sahaja memperkasakan hak pengguna tetapi turut membolehkan pihak insurans membandingkan ubat yang dipaparkan oleh hospital dan klinik swasta dengan caj yang dikenakan kepada pihak insurans.

Profesor Ekonomi, Polisi dan Ekonomi Kesihatan IMU University Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata perkara itu akan membolehkan penyedia insurans membuat perbandingan dan rundingan lebih adil dengan fasiliti kesihatan panel selain turut menggalakkan penetapan harga yang lebih berpatutan dan kompetitif di pasaran.

 “Langkah ini merupakan satu daripada komponen asas penting dalam transformasi sistem kesihatan negara, khususnya bagi membendung kenaikan kadar inflasi kesihatan dan memastikan akses kepada ubat yang berkualiti pada harga yang munasabah.

“Ketulusan pemaparan harga ini lebih mudah untuk mengawal selia kerana mungkin ada klinik yang menaikan harga terlalu tinggi dan perkara ini boleh dilakukan penelitian serta analisis oleh pihak insurans serta intervensi tertentu apabila membuat pembayaran kepada tuntutan oleh pesakit ketika mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Temu Bual Radio terbitan Bernama Radio, hari ini. 

Dr Syed Mohamed Aljunid berkata inisiatif pemaparan harga ubat diperkenalkan untuk meningkatkan ketelusan maklumat harga ubat kepada pengguna supaya dapat membuat pilihan bermaklumat dalam mendapatkan harga ubat-ubatan berdasarkan kemampuan serta membuat keputusan pembelian yang lebih bijak.

“Pengguna kini boleh melihat harga ubat dengan jelas sebelum mendapatkan bekalan ubat, mengelakkan caj tersembunyi atau harga melampau, seterusnya membolehkan mereka membuat pilihan bermaklumat dan perbandingan harga antara fasiliti.

“Pelaksanaan yang diperkenalkan oleh kerajaan ini bertujuan memastikan pengguna tidak terbeban dengan caj ubat yang tidak munasabah,” katanya. 

Mengenai inisiatif itu yang didakwa memberi kesan kepada pengamal perubatan swasta atau GP, beliau berkata usaha berkenaan bukan untuk mengganggu perkhidmatan atau model operasi GP, sebaliknya memastikan sistem sedia ada lebih telus.

“Apa yang kerajaan buat sekarang adalah untuk memaparkan harga ubat dan bukan untuk mengawal harga ubat tersebut. Doktor swasta boleh meletakkan harga yang difikirkan sesuai. Kerajaan tidak menetapkan harga, jadi masih ada ruang untuk pihak tersebut menetapkan harga sendiri berdasarkan pembelian ubat-ubatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan