JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Langkah Kerajaan Tingkatkan Jaminan SJPP Tepat Pada Masanya - SBF

06/05/2025 06:14 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk menaikkan jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM1 bilion merupakan langkah yang tepat pada masanya untuk mengukuhkan keyakinan perniagaan dan meningkatkan mudah tunai dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Jonathan Chai mengalu-alukan langkah berkenaan sambil berkata ia akan memberi manfaat terutamanya kepada PKS yang terlibat dalam pasaran antarabangsa.

"Walaupun langkah ini wajar dipuji, keberkesanannya akan bergantung pada skala dan tempoh gangguan ekonomi susulan tindakan tarif terbaru oleh Amerika Syarikat (AS).

"Bagi PKS yang terlibat dalam pembuatan eksport atau yang terikat dalam rantaian bekalan yang terjejas, kesan riak boleh menjadi ketara. Pendekatan pembiayaan yang fleksibel dan dipacu impak yang diperlukan, yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan masa nyata," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan peruntukan jaminan di bawah SJPP sebanyak RM1 bilion, terutamanya untuk membantu PKS yang terjejas oleh tarif AS.

Anwar berkata untuk terus menyokong usahawan PKS yang terjejas, kerajaan juga telah meluluskan tambahan RM500 juta untuk dana pinjaman mudah yang ditawarkan melalui institusi pembangunan kewangan (DFI).

Mengulas mengenai tambahan RM500 juta pinjaman mudah itu, Chai berkata ia adalah inisiatif yang positif, tetapi menegaskan bahawa kejayaannya bergantung pada kebolehcapaian, kecekapan pemprosesan, dan jangkauan.

“Halangan utama yang masih wujud adalah kesedaran dan keupayaan yang terhad dalam kalangan PKS, terutamanya syarikat yang lebih kecil, untuk menguruskan sistem pembiayaan yang kompleks. Ramai juga yang tidak mempunyai cagaran atau jaminan yang sering diperlukan oleh institusi kewangan yang mahu mengelak risiko,” katanya.

Tanpa menangani halangan-halangan itu, dana berkenaan berisiko tidak digunakan sepenuhnya atau gagal sampai kepada PKS yang amat memerlukannya.

“SBF mencadangkan kempen kesedaran yang lebih agresif melalui rangkaian perniagaan tempatan, proses dokumentasi yang dipermudahkan, termasuk penilaian kredit alternatif untuk perniagaan tidak formal, serta mekanisme pemantauan yang kukuh untuk mengesan pengagihan dana dan melaksanakan penambahbaikan secara masa nyata,” katanya.

Chai juga menekankan risiko jangka panjang tarif timbal balik AS ke atas PKS yang bergantung kepada eksport, terutamanya yang terlibat dalam elektronik, alat ganti automotif, dan tekstil, dengan menyatakan bahawa ini boleh menghakis daya saing harga, mengganggu rantaian bekalan dan mengurangkan akses pasaran.

“Bagi kekal berdaya tahan, PKS mesti mempelbagaikan pasaran, mengguna pakai strategi pengeluaran baharu dan melabur dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja. Mereka juga perlu menerapkan inovasi, mengukuhkan hubungan perdagangan serantau seperti melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan mempercepatkan usaha digitalisasi,” tambahnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan