JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pergolakan India-Pakistan, Kerajaan Sedia Import Beras Dari Negara Serantau - Mohamad

06/05/2025 03:35 PM

PARIT BUNTAR, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan tidak menolak kemungkinan meningkatkan pengimportan bekalan beras daripada beberapa negara serantau susulan konflik yang berlaku membabitkan India dan Pakistan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pergolakan yang berlaku di kedua-dua negara berkenaan dijangka menjejaskan bekalan beras import negara.

"Boleh (bekalan import terjejas), ini kerana kedua-dua negara mengeksport kira-kira 38 peratus beras ke negara kita. Saya harap dan berkeyakinan kedua-dua pihak pun tidak mahu berperang.

“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja bagi memastikan bekalan beras di negara ini terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pusat berkenaan. 

Sebelum ini, media melaporkan konfilik antara India dan Pakistan tercetus susulan insiden serangan berdarah di wilayah Kashmir, India yang mengorbankan 26 individu pada 22 April lepas. 

Dalam perkembangan lain Mohamad yakin tidak akan berlaku pembelian panik telur ayam kerana bekalan itu mampu ditampung menerusi program Jualan Rahmah dan Jualan Agro yang ketika ini sedang giat dilaksanakan. 

Berkenaan jangkaan harga telur ayam meningkat hingga tiga sen sebiji, Mohamad berkata perkara itu ramalan semata-mata.

"Itu (jangkaan harga telur ayam meningkat) ramalan, kita lihat perkembangannya. Macam dulu juga, kita apungkan harga ayam, ramai mengatakan harga ayam akan meningkat, tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Kita harap juga kerjasama semua pihak dengan harga bahan makanan agak menurun sedikit sekarang ini (seperti) soya dan juga grain corn, kita harap tidak berlaku kenaikan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur ayam meningkat hingga tiga sen sebiji jika kos pengeluaran ketika ini masih kekal 38 sen sebiji selepas kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bermula 1 Ogos ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan