JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Saluran Enjoy TV5 Mula Bersiaran Tengah Malam Sabtu Ini

05/05/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Enjoy TV5, satu-satunya saluran televisyen di Malaysia yang memberi tumpuan penuh kepada filem dan hiburan, akan mula bersiaran secara rasmi pada Sabtu ini.

Orang ramai boleh menonton saluran itu melalui platform TV digital percuma kebangsaan MYTV, Saluran 105 (CH105), mulai 12 tengah malam.

Majlis Pelancaran TV5 Free-to-Air Digital Movie Channel itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Pavilion di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengerusi TV5 Datin Yoko Chou serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV Helmi Harith.

Fahmi pada sidang media selepas pelancaran itu berkata pihaknya sedang berbincang untuk memastikan MyTV dapat bersiaran di peringkat ASEAN dan kini menunggu beberapa proses daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata pihaknya juga berhasrat memuat naik aplikasi MyTV bukan hanya untuk kandungan televisyen tetapi juga kandungan radio di Infotainment Head Unit (IHU) kereta buatan tempatan atau yang disiapkan di Malaysia.

"Ini antara perkara yang sedang dibincangkan oleh Commercial Radio Malaysia (CRM) bersama dengan pihak MyTV dan saya menyokong usaha ini kerana kita lihat ia peluang yang baik untuk kita menyajikan kandungan untuk kereta-kereta yang mempunyai IHU," katanya.

Fahmi berkata MyTV dan TV5 diberikan insentif setahun untuk bersiaran selama tiga tahun selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MCMC.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan