JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Terus Martabatkan UMK Sebagai Universiti Keusahawanan - Tengku Mahkota Kelantan

05/05/2025 08:18 PM

BACHOK, 5 Mei (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra bertitah agar semua pihak beriltizam untuk terus memartabatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai universiti berteraskan keusahawanan melalui perancangan sistematik, pelan tindakan dan pelaksanaan strategi.

Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Pro-Canselor UMK bertitah baginda sentiasa memantau setiap perkembangan kemajuan serta pencapaian yang diraih universiti itu sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa sepanjang 2024.

“Semua pencapaian ini mencerminkan hasil kerja keras dan komitmen warga UMK secara keseluruhannya. Tahniah beta ucapkan.

“Pada era globalisasi ini, kita sedang menyaksikan bagaimana corak kehidupan kita telah berubah berbanding beberapa dekad yang lepas, sama ada dalam konteks bekerja, berkomunikasi atau mengakses maklumat,” titah baginda pada Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK ke-14 yang berlangsung di UMK Kampus Bachok, di sini hari ini.

Tengku Muhammad Fakhry bertitah perubahan ini telah memberikan kesan yang besar kepada pola pemikiran dan cara manusia melaksanakan sesuatu perkara. 

Baginda bertitah realiti itu telah memberi impak yang amat ketara kepada peradaban manusia masa kini.

“Beta berpandangan bahawa cabaran dan perubahan yang berlaku ini amat getir bagi UMK sebagai sebuah institusi pengajian tinggi untuk terus kekal relevan, berdaya saing serta mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan semasa demi kesejahteraan kehidupan manusia.

“Beta juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua atas pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UMK yang mencapai 96.7 peratus pada tahun lepas,” titah baginda.

Tengku Muhammad Fakhry bertitah UMK perlu sentiasa menilai semula keseluruhan ekosistemnya bagi memastikan persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif dapat diwujudkan. 

Baginda bertitah penilaian itu turut merangkumi kerelevanan reka bentuk kurikulum, kaedah pembelajaran, program pengajian yang ditawarkan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan agar semua sentiasa seiring dengan keperluan pembangunan negara.

“Pendekatan pengajian di UMK sewajarnya berorientasikan pembelajaran abad ke-21 atau istilahnya future ready curriculum dengan mengambil kira elemen yang berorientasikan gaya hidup digital, penguasaan teknologi, peralatan dan perkhidmatan digital serta cara kerja berasaskan pengetahuan,” titah baginda.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan