JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KKR, Pihak Berkepentingan Kerjasama Selesai Kelewatan Projek MEX II

03/05/2025 01:28 PM

BUKIT KAYU HITAM, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian berhubung masalah kelewatan projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata beliau tidak mahu menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu kerana ia masih di peringkat penyelesaian. 

“MEX II, seperti mana semua sedia maklum memang kita akui bermasalah untuk menyiapkan projek itu, tetapi berita baik memang daripada semua yang berkaitan iaitu Kementerian Kewangan, KKR dan Jabatan Kerja Raya yang membantu.

“… dan pihak funder (pendana) yang pemaju itu mendapat punca kewangan untuk memajukan projek berkenaan semua bekerjasama, ini dalam proses,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau perkembangan kemajuan projek pembinaan laluan jalan raya bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.

Nanta berkata beberapa siri mesyuarat dijangka berlangsung dalam masa terdekat, dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata mesyuarat itu bertujuan menentukan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu kelewatan projek berkenaan.

Projek Lebuhraya MEX II sepanjang 18 kilometer yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dimulakan pembinaannya pada 2016 dan dijadualkan siap pada Disember 2019.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan