EKONOMI > BERITA

KAAMATAN PLATFORM TINGKAT INDUSTRI PELANCONGAN, LONJAK EKONOMI RAKYAT SABAH

22/05/2025 08:20 PM

KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Pesta Kaamatan tahun ini menjadi platform penting dalam mempertingkatkan industri pelancongan sekali gus melonjakkan ekonomi rakyat di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025, berkata banyak pemain industri dan agensi luar telah berkunjung ke seluruh daerah di negeri ini untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan pesta berkenaan.

“Ini juga antara yang kita mahukan daripada Pesta Kaamatan, sebagai platform untuk memajukan pelancongan dan ekonomi di Sabah. Hasrat ini menjadi kenyataan apabila kehadiran pelabur meningkat pada musim ini," katanya pada sidang media sempena sambutan itu di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pelbagai program yang dilaksanakan sempena bulan Kaamatan berjalan lancar dan kerjasama baik daripada semua pihak dapat memastikan ia dijayakan sesuai dengan yang diinginkan.

“Pelancaran Pesta Kaamatan di peringkat daerah juga dilihat berjalan lancar dan saya berterima kasih kepada semua pihak khususnya jawatankuasa induk yang telah memainkan peranan masing-masing dengan baik. Saya harap momentum tersebut dapat diteruskan hingga penutupan pesta pada 31 Mei ini,” katanya.

Jeffrey berkata pada tahun ini, rumah tradisi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) juga telah mengadakan rumah terbuka untuk rakyat daripada pelbagai kaum.

“Kita jemput semua datang ke rumah tradisi berkenaan. Kita ada 14 rumah tradisi dan pergilah melawat untuk kita sama-sama mengenali warisan serta budaya kita,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 pada 30 Mei ini.

“Penutupan rasmi sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pula akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 31 Mei,” katanya.

Pesta Kaamatan yang turut dikenali sebagai pesta menuai merupakan sambutan tradisi masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus dengan tahun ini membawa tema “Keaamatan Untuk Semua”.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan