KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Public Bank Bhd (Public Bank) melaporkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.75 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2025 (S1 2025) berbanding RM1.65 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan meningkat kepada RM7.31 bilion daripada RM6.65 bilion sebelumnya, disokong oleh pinjaman yang lebih baik dan pertumbuhan deposit pelanggan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata pinjaman kasar meningkat RM5.9 bilion atau pada kadar tahunan 5.6 peratus kepada RM430.1 bilion pada S1 2025 berbanding RM424.2 bilion sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh pertumbuhan dalam pembiayaan gadai janji, pembiayaan sewa beli serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Jumlah deposit daripada pelanggan pada S1 2025 meningkat RM3.8 bilion atau pada kadar tahunan 3.5 peratus kepada RM437.1 bilion.
“Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kumpulan kekal stabil pada 0.53 peratus pada 31 Mac, 2025, lebih rendah daripada nisbah GIL purata pada 1.42 peratus,” katanya.
Kedudukan mudah tunai kumpulan juga kekal stabil dan sihat, dengan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar kekal pada 83.9 peratus pada akhir S1 2025.
Mengenai prospek, Public Bank berkata kumpulan itu komited sepenuhnya dalam peranannya sebagai pengantara kewangan serta menyumbang kepada pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi sambil terus memelihara tadbir urus korporat yang kukuh dan pengurusan risiko kredit yang berhemat.
“Kumpulan terus memastikan bahawa ia akan mengekalkan dipermodalkan yang baik setiap masa untuk menyokong pertumbuhan perniagaan, sambil mengoptimumkan pulangan kepada pemegang kepentingannya.
“Modal dan kedudukan mudah tunai kumpulan yang sihat serta kualiti aset yang berdaya saing dan rizab kerugian pinjaman yang berhemat akan membolehkan kumpulan menjana pulangan yang mampan,” katanya.
Bank juga kekal komited untuk mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan serta kehadirannya di rantau ini khususnya di Indochina, memanfaatkan prospek ekonomi serantau dan kekuatan jenamanya serta pengurusan yang berhemat.
Berikutan pengambilalihan LPI Capital Bhd, Public Bank menyasarkan untuk memanfaatkan peluang strategik bagi mengembangkan segmen insurans amnya di Malaysia.
Katanya, pengembangan itu dijangka memberi sumbangan positif kepaa pendapatan masa depan kumpulan.
Dalam satu kenyataan berasingan, Public Bank berkata faedah bersih dan pendapatan pembiayaan kumpulan meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM2.8 bilion.
Pendapatan bukan faedah meningkat 18.9 peratus kepada RM772.1 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh sumbangan daripada perniagaan insurans am LPI Capital.
Katanya, perlindungan kerugian pinjaman berjumlah 159.9 peratus, terus menyediakan penampan yang mencukupi potensi kerugian kredit.
Mengulas mengenai prestasi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata walaupun berdepan cabaran dalam persekitaran operasi, prestasi kewangan terkini kumpulan perbankan mencerminkan daya tahan dan kekuatan asasnya.
“Pengurusan kos yang berhemat menghasilkan nisbah kos pendapatan yang cekap sebanyak 35 peratus, selain pertumbuhan teratas yang berterusan, pulangan atas ekuiti berada pada 12.4 peratus.
“Kami akan terus meningkatkan kecekapan teras kami, merebut peluang yang ada dan menyokong pelanggan kami untuk menyesuaikan diri dengan landskap yang cepat berubah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial