EKONOMI > BERITA

PKFZ PERKENAL PELAN INDUK BAHARU UNTUK ZON PINTAR, SEDIA MASA DEPAN

20/05/2025 11:18 PM

PELABUHAN KLANG, 20 Mei (Bernama) -- Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang merupakan zon perindustrian bebas dan komersial terkemuka di Malaysia, memperkenalkan pelan induk PKFZ 2.0 hari ini, sebuah visi baharu yang berani untuk zon pintar dan sedia masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Priscilla Lim berkata pelan hala tuju transformatif itu bakal meletakkan PKFZ sebagai ekosistem logistik dan perindustrian generasi baharu yang mengintegrasikan kemampanan, teknologi, dan perkhidmatan berteraskan pelabur.

Beliau berkata inisiatif utama di bawah pelan induk 10 tahun itu merangkumi inovasi hab perindustrian, pembangunan hijau dan ekosistem mesra perniagaan yang antara lain, akan menumpukan kepada pendigitalan, keselamatan dan penyelesaian perniagaan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), serta perkhidmatan pelabur bernilai tambah dan kemudahan perdagangan.

“Garis masa kami dirancang untuk jangka pendek dan jangka panjang, yang mana matlamat jangka pendek bagi satu atau dua tahun ini akan memberi tumpuan kepada memperbetulkan asas terlebih dahulu, seperti penambahbaikan infrastruktur kami.

“Sepanjang tempoh ini, kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi strategik dan penyewa kami untuk meningkatkan kadar penghunian dan selepas itu, perkhidmatan nilai tambah, di mana kami merancang untuk menyediakan bukan sahaja gudang tetapi juga kemudahan-kemudahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Ulang Tahun Ke-20 PKFZ di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PKFZ Lim Lip Eng, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang Kapten K Subramaniam dan Pengarah Pusat Logistik Negara Norhasliza Mat Salleh.

Lim berkata PKFZ sedang meneroka kemungkinan untuk mempertingkatkan kawasan perbandaran dalam zon perindustrian bebas dan komersial berasaskan Pulau Indah, termasuk rancangan untuk membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan dan institusi pengajian tinggi, serta kuarters pekerja berpusat.

“Pada masa ini kami mempunyai dua bidang tanah terakhir yang masih tersedia, masing-masing berkeluasan 3.03 hektar dan 1.25 hektar, yang sedang menunggu cadangan daripada syarikat-syarikat yang berminat,” katanya.

Lim menambah bahawa kadar penghunian unit industri ringan (LIU) kini berada pada tahap 60 peratus, manakala baki 40 peratus lagi terdiri daripada kira-kira 150 unit masih tersedia untuk disewa.

Sambutan ulang tahun ke-20 PKFZ akan berlangsung sepanjang tahun dan acara kemuncak ialah pada Oktober yang akan merangkumi pameran perdagangan serta acara sesi jaringan perniagaan peringkat tertinggi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan