GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menerusi agensi pelaburan negeri, Invest Penang aktif menjalankan misi pelaburan dan perdagangan ke negara-negara asing bagi mengurangkan impak kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata usaha tersebut bertujuan menarik pelabur baharu dan mencari peluang pasaran baharu termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Eropah, China dan Singapura.
“Selain itu, Invest Penang juga menyertai pelbagai ekspo antarabangsa seperti SEMICON Southeast Asia, Kumamoto Industrial Revitalisation Expo, World Fujian Convention & Exhibition, World Congress on Innovation &Technology (WCIT) dan sebagainya.
“Usaha ini dapat meningkatkan keterlihatan Pulau Pinang kepada pasaran baharu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Gooi Hsio Leong (PH-Bukit Tengah) mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi menghadapi kesan kenaikan tarif AS di sini.
Bagi meningkatkan kedudukan Pulau Pinang dalam rantaian nilai semikonduktor, Chow berkata kerajaan negeri akan mengekalkan komitmennya terhadap garis panduan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan inisiatif Penang Silicon Design @5km+.
Katanya kemajuan tersebut akan dicapai dengan memupuk jaguh tempatan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan jumlah pelaburan untuk inisiatif Penang Silicon Design@5km+ diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan juga telah mewujudkan geran padanan untuk memacu inisiatif tersebut dan kerjasama itu akan meletakkan Malaysia, khususnya Pulau Pinang sebagai peneraju terkemuka dalam ekosistem reka bentuk IC, memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Bagi menarik dan menyokong ramai pemain reka bentuk IC menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di Pulau Pinang, Chow berkata kerajaan negeri menawarkan skim pakej insentif yang terdiri daripada subsidi bernilai sehingga RM2 juta setiap tahun untuk tiga tahun kepada syarikat reka bentuk IC tempatan dan asing yang berpangkalan di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya inisiatif tersebut bergantung pada pembiayaan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dalam memastikan pelaksanaan penuh program dan sokongan untuk pertumbuhan industri yang terlibat.
Beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membangunkan Kit Penyesuaian Perdagangan bagi pemain industri.
Katanya ia akan merangkumi sumber praktikal untuk membantu mereka memanfaatkan pasaran alternatif di bawah perjanjian perdagangan serantau dalam ASEAN dan perjanjian sedia ada termasuk Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Chow berkata Pulau Pinang antara negeri yang paling berpotensi terkesan dengan pelaksanaan tarif timbal balik memandangkan AS ialah negara kedua tertinggi dalam senarai eksport Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion iaitu 17 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri pada 2023.
“Negara tersebut juga merupakan rakan dagangan utama Pulau Pinang dengan lebihan dagangan bernilai RM57.7 bilion pada 2024.
“Oleh itu, pelaksanaan tarif ini dikhuatiri bakal memberi impak serius kepada Pulau Pinang dan negeri-negeri lain dalam Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial