EKONOMI > BERITA

DELEGASI MALAYSIA DI CHINA SASAR PELUANG BAHARU DALAM PASARAN MINYAK SAWIT

18/05/2025 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Malaysia sedang mengukuhkan hubungan perdagangan strategiknya dengan China menerusi lawatan rasmi selama seminggu diketuai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, menyasarkan pasaran baharu berpotensi bagi minyak sawit dan mempromosikan inovasi dalam produk hiliran.

Misi (lawatan) itu yang berlangsung mulai hari ini hingga 24 Mei depan akan menumpukan pada meningkatkan kerjasama komersial dua hala, memperluaskan aplikasi minyak sawit dalam industri dan masakan China serta mempertingkatkan kehadiran Malaysia dalam pasaran pertumbuhan tinggi bahagian barat China.

Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyataan hari ini berkata delegasi itu akan memulakan lawatannya di Shanghai dengan Chan merasmikan Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-20 Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM), ia adalah pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di China.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ditubuhkan pada 2005, PORTSIM berperanan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan luar negara Malaysia, memudahkan pemindahan teknologi, inovasi produk dan pembangunan aplikasi minyak sawit baharu di China.

Kementerian itu berkata melalui kerjasama strategik dengan institusi dan industri China, PORTSIM memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk berasaskan sawit termasuk makanan, oleokimia dan detergen, menyumbang dengan ketara kepada pengembangan hiliran Malaysia dalam pasaran China.

Selepas lawatan ke Shanghai, delegasi itu akan pergi ke bahagian barat China termasuk bandar Chengdu dan Chongqing untuk melawat syarikat di sana dan mengadakan perbincangan meja bulat dengan perusahaan milik kerajaan serta pihak berkepentingan industri tempatan.

Sesi libat urus itu bertujuan meningkatkan kerjasama strategik dan mengembangkan rangkaian perdagangan dengan penekanan khusus pada mempromosikan aplikasi minyak sawit dalam masakan Cina yang popula seperti mala hotpot, hidangan popular dari wilayah Chongqing dan Sichuan.

"Kemuncak utama lawatan itu adalah kehadiran Chan di Pameran Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa China Barat ke-7 (WCIFIT) dan menganjurkan mesyuarat meja bulat dengan pengimport dari barat China yang diadakan di Pusat Ekspo Antarabangsa Chongqing," katanya.

Selain itu, kementerian berkata Chan akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Chongqing untuk meneroka kerjasama lebih luas dalam perdagangan dan pelaburan dengan tumpuan kepada industri minyak sawit dan komoditi utama Malaysia yang lain.

Mesyuarat itu juga akan membincangkan memperluaskan perkongsian di barat China, wilayah yang mengalami pertumbuhan pasaran yang kukuh dan peningkatan permintaan untuk bahan mentah mampan.

China ialah pengimport ketiga terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia di peringkat antarabangsa, menyumbang 10 peratus daripada jumlah nilai eksport minyak sawit pada 2024.

Tahun lepas, eksport Malaysia produk ini ke China mencecah RM10.57 bilion, mencatatkan peningkatan 5.11 peratus daripada RM10.06 bilion pada 2023.

Menurut statistik Oil World (2024), Malaysia menyumbang 26.7 peratus daripada bahagian pasaran di China.

Kementerian itu berkata lawatan rasmi ini menekankan komitmen Malaysia untuk mempereratkan hubungan ekonomi dengan China, meningkatkan akses pasaran bagi produk minyak sawit dan menyokong pertumbuhan mampan merentas sektor eksport utama.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan