EKONOMI > BERITA

CAMBRIDGE TENANG, YAKIN DENGAN CARA TERSENDIRI HADAPI TARIF AS KE ATAS KERETA, KELULI UK

09/05/2025 01:30 PM

Oleh Niam Seet Wei

CAMBRIDGE, 9 Mei (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif ke atas kereta dan keluli British sekali lagi menjadi topik utama di seluruh United Kingdom (UK) pada Khamis.

Menurut laman web rasmi kerajaan UK, GOV.UK, Washington mengurangkan tarif ke atas import kereta UK kepada 10 peratus daripada 27.5 peratus sebelum ini di samping menghapuskan tarif ke atas keluli dan aluminium, daripada 25 peratus kepada sifar.

Ketika menyusuri laluan berturap batuan buntar di Cambridge, bandar universiti paling terkenal di dunia, kehidupan di sini diteruskan seperti biasa, tanpa reaksi ketara orang ramai.

Malah ketika Presiden AS Donald Trump membuat pengumuman tarif “Hari Pembebasan” pada 2 April, kalangan pengguna di sini nampaknya tidak peduli dengan kesan politik tarif.

Tiada kempen "Buy British” di bandar, mahupun sebarang perubahan ketara terhadap sentimen pengguna.

Keadaan itu dapat dilihat walaupun tinjauan terbaru yang dijalankan oleh bank universal British, Barclays Plc, menunjukkan 71 peratus pengguna merancang untuk membeli lebih banyak produk “Made in Britain” (Buatan Britain) sebagai tindak balas terhadap tarif perdagangan itu.

Tinjauan itu dibuat berdasarkan data perbelanjaan kad penggunanya.

Di sekitar King’s Parade, antara laluan pelancong yang paling sibuk di tengah-tengah Cambridge, rangkaian makanan segera Amerika kekal sesak dengan orang ramai yang menikmati burger dan ayam goreng, sesekali menghirup secawan kopi, malah kedai Apple juga sibuk seperti lazimnya.

Nampaknya kesan tarif AS tidak banyak mempengaruhi kehidupan seharian kebanyakan penduduk Cambridge.

 

Tenang, Yakin Dengan Cara Tersendiri

 

Mungkin realiti di Cambridge adalah ekonominya tidak bergantung kepada industri yang paling terkesan dengan tarif.

Daripada bergantung kepada eksport seperti keluli atau produk tenusu, bandar universiti ini berkembang maju hasil pengetahuan, modal intelektual dan pembiayaan penyelidikan.

Bagi kebanyakan orang di sini, pertikaian tarif itu sentiasa dirasakan jauh atau mungkin tidak relevan.

Meskipun dengan tarif terkini AS ke atas automotif dan keluli, yang disambut baik oleh pembuat enjin, Rolls-Royce Holdings Plc dan syarikat aeroangkasa, Melrose Industries Plc, serta langkah Bank of England mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.25 peratus untuk mengurangkan kesan dasar tarif Trump terhadap ekonomi UK, namun Cambridge tetap tenang tanpa terganggu.

Pada akhir dagangan Khamis, saham Rolls-Royce meningkat 3.66 peratus kepada 794 pence seunit (100 pence = RM5.68), manakala Melrose naik 5.21 peratus kepada 470.70 pence seunit.

 

Tiada Reaksi Ketara daripada Sikap Pengguna

 

Walaupun AS mengekalkan pendirian tegas di bawah pentadbiran Trump namun, pengguna British tidak pernah kelihatan “membalas” tarif yang dikenakan.

Di Cambridge, rangkaian makanan segera Amerika masih popular seperti biasa, kalangan pelawat, penuntut dan golongan profesional terus menikmati hidangan di restoran-restoran ini atau berbelanja di kedai-kedai utama teknologi AS tanpa banyak berfikir.

Pengurangan tarif AS terhadap sektor automotif, keluli dan aluminium UK mungkin menandakan perkembangan dalam hubungan perdagangan, dan perubahan ini pastinya disambut baik oleh sektor yang terjejas secara langsung, meliputi perniagaan tempatan sehingga pengeksport utama.

Bagi mereka, keadaan ini akan membuka peluang untuk meluaskan akses pasaran ke dalam ekonomi terbesar dunia itu.

Perubahan ini mungkin diterima secara senyap di Cambridge, sebuah bandar universiti berabad lamanya di pinggir Sungai Cam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan