EKONOMI > BERITA

GANGGUAN PENERBANGAN AKIBAT KONFLIK TUNTUT MALAYSIA TUMPU DIGITAL, PELBAGAIKAN DAGANGAN

09/05/2025 10:56 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Industri penerbangan Malaysia berkemungkinan meraih perolehan hasil lebih rendah jika terus berdepan peningkatan kos perjalanan udara, kelewatan rantaian bekalan serta aktiviti pelancongan yang susut akibat gangguan penerbangan yang berlanjutan. 

Senario itu diburukkan lagi oleh penutupan ruang udara Pakistan susulan ketegangan dengan New Delhi meruncing ketika konflik Ukraine-Rusia yang masih belum tamat, terus menekan sentimen perniagaan.

Berikutan laluan penerbangan global terjejas, tindakan melencongkan penerbangan sebaliknya akan meningkatkan lagi bebanan dari segi kos logistik manakala pelancong mengambil jalan selamat dengan enggan melakukan aktiviti itu atas alasan bimbangkan keselamatan.

Justeru, bersandarkan keadaan sedemikian, Malaysia dilihat perlu memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan hasil dengan mengembangkan perdagangan, menjadikan industrinya lebih berdaya tahan bagi mengatasi cabaran di hadapan yang diburukkan lagi oleh tindak-tanduk Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balas.

Menyuarakan pandangan sama, Profesor Madya Fakulti Perniagaan Putra Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang menyifatkan sebarang pelarasan semula penerbangan melalui laluan lebih panjang akan hanya meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan dan memberi kesan terhadap aliran barangan serta pergerakan keluar masuk individu di Malaysia.

“Lencongan laluan yang lebih jauh ini berpotensi meningkatkan kos logistik selain menjejaskan rantaian bekalan.

“Bukan itu sahaja, pergerakan pelancong turut terjejas yang boleh memberi impak negatif terhadap industri penerbangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmed Razman berkata pada masa sama, kebimbangan mengenai keselamatan ini akan mempengaruhi tingkah laku aktiviti pengembaraan yang menjejaskan permintaan dalam segmen perjalanan ke luar negara.

“Rakyat Malaysia mungkin cenderung menangguhkan perjalanan, terutama penerbangan jarak jauh kerana bimbangkan insiden yang pernah menimpa pesawat MH17," katanya.

 

Pengembangan perdagangan, daya tahan industri 

 

Susulan kekangan kawalan ruang udara global akibat sekatan, Ahmed Razman berkata pertahanan terbaik Malaysia adalah dengan mengembangkan jejak perdagangan globalnya selain mengkaji semula keutamaan ekonomi.

“(Langkah) menjalin lebih banyak perjanjian perdagangan unilateral dilihat lebih realistik dan berkesan kerana menawarkan rakan dagang alternatif serta potensi untuk mengembangkan perdagangan yang sememangnya amat perlu dalam senario ketegangan global yang kian meruncing," katanya.

Selain perdagangan, beliau juga menggesa kalangan penggubal dasar untuk mengutamakan sektor perkhidmatan dan ekonomi digital yang disifatkannya sebagai kurang terdedah kepada pergerakan fizikal dan isu penerbangan.

“Sektor ini menawarkan daya tahan serta potensi pertumbuhan masa depan,” katanya.

 

Teliti semula keutamaan pelaburan

 

Ahmed Razman turut menyarankan agar pelaburan besar dalam industri yang berorientasikan teknologi serta mantap bagi membina struktur ekonomi yang lebih berdaya tahan.

“(Atas alasan ini) Malaysia perlu mempertimbangkan pelaburan dalam sektor lebih berdaya tahan seperti teknologi dan pendigitalan.

“Industri ini dapat bertahan daripada kejutan luaran dengan lebih berkesan dan memastikan ekonomi terus bergerak walaupun logistik global terganggu," katanya.

Pada Rabu, Pakistan mengumumkan menutup ruang udaranya susulan ketegangan meruncing dengan India yang menyaksikan kejadian serangan udara dan tindak balas selepas berlakunya serangan maut di Kashmir baru-baru ini.

Penutupan ruang udara itu memaksa beberapa syarikat penerbangan antarabangsa bertindak mengubah atau melencongkan laluan serta membatalkan penerbangan, sekali gus meningkatkan lagi tekanan penerbangan global berterusan akibat konflik Ukraine-Rusia yang menyekat akses kepada koridor udara utama di Eropah.

Laporan media menyatakan syarikat-syarikat penerbangan utama, termasuk United Airlines, Korean Air dan Lufthansa, mengubah laluan penerbangan bagi mengelak ruang udara terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan