KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) bertegas mengadakan perbincangan dua hala dengan negara anggota ASEAN secara individu mengenai langkah tarif timbal balas baru-baru ini, dan enggan berunding sebagai sebuah blok serantau, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pengarah Hubungan Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala MITI Raveendran Nair berkata Malaysia sebagai ekonomi ketiga terbesar dalam ASEAN telah memainkan peranan aktif dalam rundingan berkenaan dengan menghantar delegasi kementerian ke Washington pada 24 April.
“Kita perlu berunding daripada perspektif dua hala. Oleh itu, sekiranya kita mengadakan perbincangan sebagai sebuah blok (ASEAN), mereka menganggap kita bersatu menentang AS. Oleh itu, kita tiada pilihan.
"Selain itu, walaupun ASEAN adalah sebuah blok, negara anggota mempunyai kepentingan yang berbeza. Mereka mempunyai produk dan kadar tarif yang berbeza. Oleh itu, mereka juga perlu berunding secara individu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel forum Hong Leong Bank bertajuk "Beyond the Headlines on US Tariffs: What’s Next for Malaysian Businesses and the Global Economy."
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengetuai delegasi pertemuan peringkat tinggi di Washington bersama-sama Setiausaha Perdagangan AS (SoC) Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer bagi membincangkan mengenai isu tarif.
Dalam pertemuan berkenaan, Tengku Zafrul menekankan kepentingan untuk meneruskan perbincangan sambil menegaskan keterbukaan Malaysia mencari penyelesaian konstruktif bagi menangani kebimbangan AS.
Raveendran berkata Malaysia turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan tarif kepada syarikat milik AS yang beroperasi di Malaysia terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Bagi sektor E&E, kami menjelaskan bahawa kebanyakan syarikat dalam sektor ini milik AS. Sehubungan itu, sekiranya anda (AS) mengenakan tarif, ini bererti anda sedang mengenakan tarif terhadap syarikat sendiri di Malaysia.
“Mereka sedia maklum mengenainya tetapi kembali berpegang kepada “Make America Great Again” atau untuk menjadikan AS kembali hebat.
“Mereka mahu pengilang kembali ke AS dan melabur di sana. Bagaimanapun, kami menjelaskan bahawa ia tidak semudah itu, dan ini akan memberi kesan besar kepada rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata SoC bersikap terbuka kepada rundingan.
Bagaimanapun, katanya MITI tidak boleh mendedahkan apa-apa kandungan rundingan ini berikutan terikat dengan perjanjian untuk tidak mendedahkan maklumat.
“Rundingan masih berlangsung. Oleh itu, sebarang keputusan muktamad akan bergantung kepada kerajaan. Kami hanya merundingkan. Kami tidak membuat apa-apa keputusan. Keputusan ini akan dilaksanakan oleh kerajaan. Buat masa ini, rundingan masih dalam peringkat awal.
"Kami berharap kepada hasil yang positif. Bagaimanapun, SoC ada menyatakan kemungkinan besar untuk tarif 10 peratus ini akan dikekalkan kepada seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perdagangan Antarabangsa Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Eugene Tan menyatakan kebimbangan mengenai kesan ancaman tarif baharu AS terhadap syarikat yang mengeksport secara langsung atau tidak langsung ke pasaran AS.
“Mereka yang mengeksport ke AS bimbang memandangkan tarif ini menjadi kos langsung manakala pihak yang tidak mengeksport secara langsung ke AS, kerisauan mereka pula lebih kepada prospek ekonomi negara serta bagaimana ia boleh menyumbang kepada kelembapan ekonomi dan kemungkinan berlaku lambakan barangan dari China ke Malaysia,” katanya.
Tan berkata kerajaan perlu melaksanakan langkah perlindungan untuk industri tempatan termasuk sektor perkhidmatan dan runcit yang mengalami gangguan pasaran serta persaingan asing yang agresif.
Menurutnya walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi sektor pembuatan, Samenta bimbang sektor perkhidmatan tidak diberikan perhatian walaupun turut berdepan pengurangan permintaan daripada pelanggan AS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial