GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Digital Penang Sdn Bhd dan unit penyedia penyelesaian teknologi kewangan Sisters Inspire Sdn Bhd, FinHero, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meluaskan akses pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Pulau Pinang.
Dalam kenyataan hari ini, Digital Penang menjelaskan kerjasama itu menyokong misinya untuk mempercepat ekonomi digital Pulau Pinang dengan memperkenalkan pilihan pembiayaan alternatif yang mengutamakan digital.
Kerjasama itu juga akan melengkapkan pemilik perniagaan dengan kemahiran untuk terlibat dalam ekonomi digital dengan yakin, tambahnya.
Digital Penang memaklumkan perkongsian itu turut selari dengan visi Penang2030 iaitu ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga’, mencerminkan matlamat bersama untuk membolehkan pertumbuhan digital yang inklusif.
“Menerusi langkah merapatkan jurang kewangan tradisional melalui inovasi dan pendidikan, inisiatif ini bertujuan membuka peluang untuk perniagaan yang kurang diberi perhatian oleh sistem pembiayaan konvensional. Asas kerjasama ini adalah komitmen terhadap impak komuniti,” tambahnya.
Berdasarkan MoU itu, Digital Penang dan FinHero akan melancarkan program untuk membantu PMKS tempatan memahami dan mengakses instrumen kewangan generasi baharu.
Perkara itu termasuk automasi dijana kecerdasan buatan (AI), pemarkahan kredit alternatif dan model kewangan perkongsian perolehan -- semuanya direka untuk menyokong perniagaan yang mempunyai prestasi kredit terhad namun berpotensi mencatatkan pertumbuhan tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata perkongsian itu menekankan komitmen bersama untuk menjadikan instrumen kewangan dan pendidikan digital boleh diakses merentas semua peringkat komuniti perniagaan.
"Inovasi inklusif adalah asas kepada ekonomi yang berdaya tahan, sedia masa depan,” kata Zairil yang juga Naib Pengerusi Digital Penang.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, FinHero akan menyumbang kepakarannya dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan mesra perniagaan seperti pembiayaan berasaskan invois dan skim pembayaran balik yang fleksibel.
Dalam pada itu, penyelesaian proprietarinya, FinXtract, akan terus menyokong penggunaan digital dengan mengautomasikan pengekstrakan data dan memudahkan tugas berulang serta memberikan lebih masa dan sumber untuk usahawan.
Digital Penang menjelaskan pihaknya akan menganjurkan bengkel dan seminar bulanan supaya teknologi kewangan lebih dikenali.
Bengkel dan seminar itu bertujuan memperkenalkan aplikasi teknologi kewangan yang praktikal dan menggalakkan strategi kewangan yang lebih bijak, jelasnya.
Selain itu, pihaknya akan menghubungkan FinHero dengan rangkaian PMKS dan persatuan perniagaannya untuk memastikan manfaat kerjasama itu dinikmati oleh mereka yang paling memerlukan, tambahnya.
Menurutnya, kerjasama itu sejajar dengan misi Digital Penang untuk meningkatkan ekonomi inovasi Pulau Pinang dan memupuk masyarakat untuk terlibat secara digital.
“Kerjasama ini memperluas landskap kewangan untuk PMKS dengan menawarkan alat praktikal dan sokongan boleh diakses yang khusus dengan keperluan mereka.
“Berasaskan akses yang lebih baik kepada penyelesaian digital dan pilihan kewangan yang fleksibel, pemilik perniagaan akan bersedia untuk berkembang secara mampan, membuat keputusan yang lebih wajar dan mengukuhkan daya tahan mereka dalam persekitaran ekonomi yang dinamik,” jelasnya.
Digital Penang memaklumkan kewangan inklusif menjadi ciri penting bagi ekonomi digital Pulau Pinang yang sedang berkembang, menyokong penyertaan jangka masa panjang dan kemajuan merentas komuniti perniagaan.
Siri bengkel komuniti pertama akan dilancarkan pada suku kedua 2025, mengetengahkan pandangan teknologi kewangan dan laluan pembiayaan terus kepada pemilik perniagaan kecil Pulau Pinang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial