EKONOMI > BERITA

BANK RAKYAT, MASTERCARD BEKERJASAMA LANCAR TOUCH CARD UNTUK OKU CACAT PENGLIHATAN

07/05/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bank Rakyat dengan Mastercard bekerjasama untuk menyepadukan ciri kad sentuh, Touch Card ke dalam pelbagai jenis kad bank terpilih.

Kad ini membantu pemegang kad bank dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) iaitu buta selain mereka yang mengalami masalah penglihatan separa bagi mengenal pasti kad kredit, debit dan prabayar mereka.

Touch Card direka dengan mengambil kira aspek kebolehcapaian bagi memberikan rasa keselamatan, keterangkuman dan kebebasan yang lebih tinggi kepada 2.2 bilion orang di seluruh dunia yang mengalami masalah penglihatan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terdapat hampir 64,000 orang cacat penglihatan di Malaysia.

Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei Beena Pothen berkata syarikat itu komited untuk membina ekonomi yang lebih terangkum yang menyokong masyarakat dari semua lapisan kehidupan.

"Penggabungan reka bentuk Touch Card oleh Mastercard dengan Bank Rakyat iaitu bank Islam pertama di Malaysia yang mengguna pakai ciri ini sekali gus mencerminkan dedikasi Mastercard untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang sealiran di seluruh dunia.

"Hal ini bagi meningkatkan kebolehcapaian dan keterangkumannya," kata Beena dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata pengenalan Touch Card mencerminkan komitmen bank untuk menambah baik pengalaman perbankan bagi semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang mengalami masalah penglihatan.

"Perkhidmatan kewangan seharusnya terangkum dan boleh diakses oleh semua orang," katanya.

Kerjasama ini turut diperkukuh dengan sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang memperjuangkan komuniti cacat penglihatan dan menyokong inisiatif seperti Touch Card bagi mempromosikan kebolehcapaian kewangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan