EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU TEROKA HASIL ALTERNATIF KETIKA PERLUASAN SST DITANGGUHKAN

06/05/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu meneroka aliran hasil alternatif seperti bantuan bersasar, pelaksanaan secara berfasa, penguatkuasaan yang dipertingkatkan, dan levi digital/hijau baharu berikutan kerajaan melaksanakan langkah strategik menangguhkan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pengerusi Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther dalam kenyataan hari ini berkata walaupun langkah ini mungkin memberi kesan kepada hasil dalam masa terdekat, beliau menyifatkannya sebagai langkah berhemat untuk memperkuat pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata isi rumah dan perniagaan masih menghadapi ketidaktentuan pasca pandemik serta cabaran global, dan pengenalan cukai baharu pada masa ini boleh mengekang pertumbuhan serta menjejaskan pencapaian yang masih kurang teguh.

“Langkah penangguhan ini dilihat mengutamakan bantuan segera berbanding kutipan hasil bagi mengekalkan keyakinan pengguna dan daya tahan perniagaan.

“Walaupun kami mengakui implikasi fiskal, tempoh penangguhan ini amat penting,” katanya.

Mohamed Iqbal berkata ketelusan mengenai manfaat SST juga penting dalam mengekalkan kepercayaan awam.

Berdasarkan pengalaman terdahulu Malaysia menerusi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta model cukai nilai tambah di rantau ini, pembaharuan cukai yang tepat pada masanya dan disampaikan dengan baik kekal menjadi matlamat jangka panjang, katanya.

“Bagaimanapun, penangguhan yang dilakukan pada masa ini mencerminkan langkah pertimbangan yang teliti untuk memastikan asas ekonomi yang stabil sebelum meneruskan semula perluasan ini,” katanya sambil memaklumkan penangguhan ini adalah langkah strategik bagi mengelakkan kemajuan negara terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan