KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah tersebut merupakan satu daripada strategi Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana, berikutan tarif timbal balik mengejut yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia.
“Antara ikhtiar yang akan dilaksanakan termasuklah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran baharu melalui penglibatan dalam ekspo/pameran perdagangan antarabangsa serta membuat padanan perniagaan dengan pembeli luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan tarif AS, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan terus menggalakkan usaha menarik perniagaan dan modal insan global ke Malaysia khususnya dalam bidang keutamaan negara seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk ahli akademik daripada universiti terkemuka.
“Sememangnya kita telah mula menerima penzahiran minat untuk berpindah ke Malaysia daripada tokoh-tokoh dalam bidang sains dan profesional,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) akan diperluas di Pulau Pinang dan Sarawak bagi menyediakan perkhidmatan kepada para pelabur di samping memantau prestasi kelulusan projek.
Setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) sebagai pusat sehenti pelabur telah dibuka di Kuala Lumpur pada Disember 2023 dan di Forest City untuk JS-SEZ pada Februari 2025, kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata setakat April 2025, RM8.5 bilion telah diperuntukkan di bawah program Gear-uP, termasuk pelaburan modal teroka serta dalam projek semikonduktor.
“Dalam memacu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, tumpuan terus diberikan kepada pelaburan langsung untuk meningkatkan aktiviti nilai tambah bidang utama seperti elektronik dan elektrikal (E&E) dan memperkukuh rantaian nilai domestik.
“Sehubungan itu, di bawah program Gear-uP, syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen membuat pelaburan langsung domestik RM120 bilion dalam tempoh lima tahun dengan RM25 bilion untuk 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial