Oleh Nor Farah Aqilah Mohd Sham
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Gamai Sdn Bhd, syarikat pengeluar latok segera iaitu juadah rumpai laut yang turut dikenali sebagai anggur laut menyasarkan untuk mengeksport produk itu ke Filipina dan Singapura tahun depan setelah mendapat perhatian peminat makanan tradisional di dalam dan luar negara.
Pengasas Gamai Sdn Bhd Fatimah Salleh berkata produk latok segera yang dihasilkannya merupakan inovasi baharu yang menyaksikan kesegaran rumpai laut itu mampu bertahan lebih lama sehingga enam bulan.
Beliau yang juga pemilik Restoran Ikan Bakar Semporna di Kepong, dekat sini mendapat idea menghasilkan latok segera setelah pelanggan sering mengadu juadah popular di restorannya itu sukar untuk dibawa pulang kerana mudah layu.
"Latok segar selalunya mampu bertahan selama dua hari jika berada di dalam suhu bilik, pendedahan kepada suhu yang tidak sesuai akan menyebabkan latok menjadi layu.
"Ramai pelanggan saya dari luar Kuala Lumpur memaklumkan sukar untuk mereka bawa latok segar ke negeri masing-masing kerana mudah layu dan menyebabkan keaslian rasanya hilang,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, timbul idea untuk menghasilkan produk latok segera yang mampu bertahan lebih lama sehingga enam bulan bagi memudahkan pelanggan yang berada di luar kawasan Kuala Lumpur mendapatkannya, kata beliau.
Beliau berkata latok dimasukkan ke dalam paket kedap udara dan pembeli hanya perlu merendam atau membilasnya sebanyak dua kali dengan air suhu bilik sebelum ia bertindak balas mengembang dua kali ganda dan siap dimakan bersama sos yang disediakan,” katanya.
Setiap paket 800 gram Latok dijual pada harga RM10 dan dibekalkan dengan dua jenis sos masam manis dan pedas.
Latok, rumpai laut berwarna hijau muda dan tumbuh menjalar kebanyakannya senang ditemukan di pesisir pantai kepulauan Borneo. Berbentuk bulat bertangkai seperti anggur dan pulpanya mempunyai rasa unik dengan kemasinan air laut memberi kelainan apabila dimakan bersama sos masam manis dan pedas.
Menurut Fatimah, permintaan latok di restorannya mula meningkat pada 2017 apabila ia mula tular dalam kalangan masyarakat untuk mencuba hidangan unik yang sukar diperoleh di Semenanjung sehingga menyebabkan ramai pengunjung mengunjungi restorannya bagi merasai hidangan berkenaan.
Beliau berkata, berikutan peningkatan permintaan dan kesukaran mendapatkan bekalan latok segar dari negeri asalnya iaitu Sabah, menyebabkan beliau dan suami mula menanam alga itu di pantai Port Dickson.
"Pada 2019, usaha penanaman latok kami mula diketahui oleh pihak kerajaan Negeri Sembilan dan melihatnya sebagai usaha yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.
”Berikutan itu, kami memperolehi bantuan tanah lesen pendudukan sementara (TOL) seluas empat ekar di pantai Port Dickson daripada Pejabat Tanah dan Galian, serta kelengkapan penanaman seperti mesin dan solar yang bernilai RM200,000 daripada Pejabat Perikanan Negeri Sembilan,” katanya.
Fatimah berkata selain dapat mengukuhkan perniagaan restorannya, bantuan itu turut memberi kelebihan dan pengalaman menceburkan diri dalam bidang pertanian sehingga menubuhkan syarikat Gamai Sdn Bhd pada 2019.
"Pada masa ini, proses penanaman diuruskan oleh 15 pekerja dan sebanyak 500-700 kilogram latok dituai setiap bulan," katanya.
Menurut Fatimah, Filipina dan Singapura dipilih sebagai destinasi eksport berikutan permintaan menggalakkan dari kedua-dua negara berkenaan.
“Baru-baru ini, syarikat kami menyertai pameran di kedua-dua negara itu, kami dapati sambutan terhadap latok segera amat menggalakkan dan permintaan daripada penggemar di Filipina dan Singapura semakin meningkat.
“Jadi, kami merancang untuk mengeksport latok ke Filipina dan Singapura bergantung kepada permintaan pasaran di sana,” katanya.
Fatimah berkata Restoran lkan Bakar Semporna miliknya yang turut mempunyai cawangan di Shah Alam tidak putus-putus didatangi pelanggan bukan sahaja oleh masyarakat Sabah yang merantau, malah turut didatangi penggemar makanan tradisi Bajau dari seluruh negara.
Sementara itu, Aiswaryani Mohd Zain, 23, mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya (UM) berkata beliau sering ke restoran berkenaan bagi melepaskan rindu terhadap masakan di kampung halamannya di Sabah.
”Walaupun terpaksa datang jauh dari Petaling Jaya, kami sanggup ke sini bagi memenuhi keinginan makanan Sabah,” katanya.
Manakala rakannya, Erika Watanabe, 22, yang juga mahasiswa UM turut gemar mengunjungi restoran itu kerana latok yang dihidangkan segar sama seperti di Sabah.
”Kami selalu datang ke sini untuk membeli latok segar sebab selalunya sukar untuk mencari yang segar dengan harga yang berpatutan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial