EKONOMI > BERITA

KENAIKAN TARIF AS BERI IMPAK TERHAD TERHADAP KDNK GLOBAL DI LUAR RANTAU APAC - S&P GLOBAL RATINGS

02/05/2025 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan walaupun terdapat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, dengan impak yang terhad terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di luar rantau Asia Pasifik (APAC), menurut S&P Global Ratings.

Katanya walaupun kenaikan tarif pada 2 April telah mewujudkan kebimbangan mengenai aliran perdagangan global, kebanyakan pasaran pesat membangun (EM) dijangka dapat menghadapi perubahan tersebut dengan gangguan yang minimum — kecuali negara-negara yang berhampiran dengan AS seperti Mexico.

“Impak tarif terhadap pertumbuhan KDNK agak rendah di luar rantau APAC.

“Ini kerana kebanyakan negara mengalami defisit perdagangan dengan AS, justeru, tarif yang dikenakan pada 2 April adalah sebanyak 10 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut S&P Global, dalam kebanyakan EM, impak langsung daripada tarif — seperti aliran perdagangan yang berkurangan — memberi impak lebih besar terhadap aktiviti ekonomi berbanding impak tidak langsung seperti permintaan global yang lebih rendah dan ketidaktentuan yang meningkat.

S&P Global mengunjurkan bank-bank pusat di EM akan menurunkan kadar dasar dengan lebih agresif daripada yang dijangkakan dalam unjuran pada Mac lepas.

Katanya bank-bank pusat di Amerika Latin dijangka melonggarkan dasar mereka dengan lebih ketara berdasarkan kadar dasar semasa mereka yang kekal melebihi tahap neutral, katanya.

“Kenaikan nilai mata wang EM berbanding dolar AS baru-baru ini memberi lebih ruang kepada bank pusat untuk menurunkan kadar di negara-negara di bawah liputan kami.

“Gabungan mata wang EM yang kukuh dan harga minyak yang rendah akan membantu mengurangkan inflasi di kebanyakan EM berikutan negara-negara ini pada amnya merupakan pengimport bersih tenaga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan