EKONOMI > BERITA

219,015 PERTUBUHAN MILIKAN WANITA BEROPERASI PADA 2022, SELANGOR TERTINGGI

30/04/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Sejumlah 219,015 pertubuhan milikan wanita dicatatkan pada 2022 yang menyumbang 20.1 peratus kepada keseluruhan pertubuhan dalam ekonomi pada tahun itu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata angka itu mewakili kadar pertumbuhan tahunan 2.3 peratus berbanding bancian sebelumnya iaitu 187,265 pertubuhan pada 2015.

Daripada jumlah itu, sebanyak 205,012 pertubuhan atau 93.6 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan dan diikuti oleh pembuatan (8,469 pertubuhan dengan sumbangan: 3.9 peratus) manakala sektor pembinaan (3,869 pertubuhan atau sumbangan: 1.8 peratus).

“Penemuan mengikut subsektor menunjukkan lebih 70 peratus pertubuhan milikan wanita terlibat dalam subsektor perdagangan borong dan runcit (sumbangan: 45.0 peratus) manakala subsektor makanan dan minuman (menyumbang 31.1 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, Selangor kekal sebagai negeri teratas mencatat bilangan pertubuhan milikan wanita tertinggi pada 2022 atau menyumbang 15.9 peratus daripada keseluruhan 219,015 pertubuhan itu.

 Ini diikuti oleh Sabah dengan 22,740 pertubuhan (sumbangan sebanyak 10.4 peratus), Kelantan (21,079 pertubuhan, sumbangan: 9.6%); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20,237 pertubuhan, sumbangan 9.2 peratus).

Nilai output kasar dijana oleh pertubuhan milikan wanita berjumlah RM136.9 bilion pada 2022 yang menyumbang 3.6 peratus kepada keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia manakala sektor perkhidmatan menjana nilai output kasar tertinggi iaitu RM83.0 bilion atau menyumbang 60.7 peratus dan subsektor perdagangan borong dan runcit menjadi pemangkin yang menyumbang 37.7 peratus (RM31.3 bilion).

Dari segi pertumbuhan, nilai output kasar meningkat 7.0 peratus setiap tahun pada 2022 berbanding 2015.

Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan kukuh sektor pembuatan sebanyak 13.8 peratus dan diikuti oleh sektor pertanian (6.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (5.7 peratus).

Jabatan Perangkaan berkata pada 2022, terdapat 185,582 pertubuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki wanita atau menyumbang 17.0 peratus daripada jumlah pertubuhan di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 171,800 pertubuhan (sumbangan 92.6 peratus) terbabit dalam sektor perkhidmatan dan diikuti oleh 8,359 pertubuhan (sumbangan: 4.5 peratus) dalam sektor pembuatan.

“Pertubuhan PKS milikan wanita ini menjana output kasar bernilai RM89.3 bilion dan nilai tambah RM44.3 bilion -- masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 4.1 peratus setiap tahun,” katanya.

Selain itu, katanya, pertubuhan milikan wanita menggaji sebanyak 833,311 pekerja dengan kadar pertumbuhan tahunan 0.9 peratus.

Dari segi gaji dan upah serta nilai harta tetap, ia mencatat RM16.2 bilion dan RM39.7 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan masing-masing 4.5 peratus dan 3.4 peratus.

Mohd Uzir berkata  peningkatan penglibatan wanita dalam ekosistem keusahawanan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

“Statistik ini bukan sahaja membuktikan kekuatan dan keupayaan usahawan wanita, malah berfungsi sebagai input penting bagi pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri dalam merangka strategi yang berinformasi untuk menyokong dan meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan