EKONOMI > BERITA

ASET RIZAB RASMI MALAYSIA BERJUMLAH US$117.49 BILION PADA AKHIR MAC 2025 - BNM

30/04/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$117.49 bilion (US$1= RM4.31) pada akhir Mac, 2025 manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$4.3 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut bank pusat itu, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia turut menyediakan maklumat mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan persekutuan serta BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan bahawa pada akhir Mac 2024, rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang sudah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$11.99 bilion.

Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$26.84 bilion pada akhir bulan Mac 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

BNM berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, serta unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.58 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat itu juga berkata satu-satunya aliran keluar jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing adalah jaminan kerajaan terhadap hutang luar dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah US$419.0 juta.

“Tidak ada pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung dalam opsyen dan tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank serta institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan