EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TIDAK AKAN TERLALU TUMPU PADA UNJURAN PERTUMBUHAN TETAPI FOKUS KEPADA BINA DAYA TAHAN - AMIR HAMZAH

26/04/2025 09:27 AM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Berdasarkan unjuran pertumbuhan Malaysia diturunkan yang mencerminkan trend global, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menekankan kepentingan untuk tidak terlalu tumpu pada angka pertumbuhan.

Sebaliknya, katanya tumpuan perlu diberikan kepada membina daya tahan dan memastikan negara mempunyai mekanisme dan dasar yang tepat untuk terus berkembang dalam ketidaktentuan global yang meningkat, perjalanan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak tiga tahun lepas.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa walaupun terdapat halangan dan badan multilateral menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia, mencerminkan pertumbuhan global dan jumlah perdagangan yang menurun, Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan pada 2025.

Semalam, Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini sebanyak 3.9 peratus. Awal minggu ini, Tabung Kewangan Antarabangsa menetapkan unjuran pertumbuhan negara pada 4.1 peratus, turun daripada 4.7 peratus sebelum ini.

Unjuran ini lebih rendah daripada sasaran kerajaan sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Perkara yang baik ialah ia (unjuran yang disemak semula) masih mencatatkan pertumbuhan,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang diadakan di Washington, Amerika Syarikat.

Beliau berkata asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan, terutamanya disokong oleh permintaan domestik yang baik, ekonomi yang pelbagai dan pelaburan yang mampan.

“Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani ketidaktentuan global,” katanya.

Beliau berkata negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2024, lebih tinggi daripada 3.6 peratus yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Dalam perbualan selama sejam itu, Amir Hamzah berkongsi fokus Kerajaan MADANI dalam menetapkan semula ekonomi negara.

“(Antara lain) kami berusaha untuk memacu ekonomi daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi di peringkat global dan untuk itu, kami perlu berusaha keras dan keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana,” katanya.

Antara cabaran utama dalam mencapai visi ini terletak pada pemikiran semula dan merangka semula asas ekonomi negara, usaha yang menjadi teras kepada rangka kerja Ekonomi MADANI, kata Amir Hamzah.

Rangka kerja itu yang dilancarkan pada 2023, memberi tumpuan kepada merangka semula ekonomi dengan tadbir urus yang baik dan pada masa yang sama membina perlindungan sosial yang lebih baik serta meningkatkan gaji kehidupan wajar di negara ini.

“Ini penting kerana masyarakat yang stabil menawarkan persekitaran yang lebih kondusif untuk kemajuan negara. Pada masa yang sama, kami mahu mengukuhkan semula jaringan sosial kami dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam negara,” katanya.

Oleh itu, katanya aspek penting ialah menarik jenis pelaburan yang tepat yang memberi tumpuan kepada kemahiran dan pelaburan dalam sektor keutamaan baharu.

“Sehubungan itu, ia bukanlah satu kejutan apabila Malaysia berkembang menjadi antara pusat data yang lebih baik di Asia dan ia juga tidak mengejutkan apabila kecerdasan buatan (AI) juga telah diambil kira (dari segi) aspek yang boleh kami lakukan dan tawarkan di Malaysia,” katanya.

Tahun lepas, pelaburan langsung asing Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang ketara, dengan jumlah tertinggi dalam sejarah sebanyak RM378.5 bilion untuk pelaburan yang diluluskan, meningkat 14.9 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata Malaysia turut mempercepat peralihan hijau dengan menarik pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik dan teknologi hidrogen.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan