EKONOMI > BERITA

MALAYSIA BERKEDUDUKAN BAIK TERAJUI KESELAMATAN SIBER DI ASEAN - KASPERSKY

24/04/2025 01:04 PM

Oleh Vinoothene a/p Chandrasekaran

SINGAPURA, 24 April (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan terbaik dalam kesediaan keselamatan siber dalam ASEAN, kata firma keselamatan siber global Kaspersky.

Pengurus Besar Kaspersky untuk Asia Tenggara Yeo Siang Tiong berkata Malaysia telah menunjukkan keupayaan kukuh dalam mengurus dan menangani ancaman siber, meletakkan negara untuk menerajui rantau ini dalam bidang kritikal itu.

"Pemerhatian saya berdasarkan beberapa faktor. Satu penunjuk yang jelas ialah Akta Keselamatan Siber 2024 yang berkuat kuasa pada 26 Ogos tahun lepas. Ia mengenal pasti industri kritikal dan mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk keselamatan siber.

"Faktor kedua ialah keupayaan dan sumber negara. Malaysia mempunyai ramai profesional dalam bidang keselamatan siber dan penyelidik ancaman. Ketiga, terdapat kesedaran awam yang kukuh dengan program jangkauan berkesan diketuai oleh CyberSecurity Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA), ia telah menunjukkan kemajuan ketara," katanya ketika ditemui BERNAMA di GITEX Asia 2025 hari ini.

Yeo juga menegaskan bahawa sebagai tuan rumah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan semakin penting dalam menyatukan usaha serantau untuk meningkatkan keselamatan siber.

“Malaysia menerajui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), di mana keselamatan siber merupakan tonggak asas utama.

“Memandangkan penjenayah siber tidak mengenal sempadan (menyerang sesiapa sahaja), DEFA membolehkan Malaysia berkoordinasi dengan negara ASEAN yang lain untuk mencegah peningkatan jenayah siber di rantau ini,” katanya.

Ditanya mengenai Strategi Keselamatan Siber Malaysia yang akan datang (2025–2030), Yeo menggariskan empat tonggak utama direka untuk mengukuhkan pertahanan siber negara.

"Pertama ialah membina daya tahan, bukan sahaja untuk menangkis serangan tetapi untuk pulih daripadanya. Tunjang kedua ialah imuniti, di mana kami menyokong dan menggalakkan konsep Kaspersky ‘imuniti siber’.

"Ketiga ialah kesedaran, ia kekal penting dan terakhir, perisikan iaitu memfokuskan pada menangani ancaman siber termasuk daripada kumpulan jenayah terancang yang menyasarkan infrastruktur kritikal, kerajaan dan rantaian bekalan," katanya.

Kaspersky membuat  penampilan pertama sebagai Rakan Imuniti Siber pertama di GITEX Asia 2025, yang diadakan dari 23 hingga 25 April di Marina Bay Sands, Singapura.

GITEX Asia adalah sebahagian daripada siri GITEX GLOBAL, pameran teknologi dan pameran permulaan terbesar di dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan