Oleh Kisho Kumari Sucedaram dan Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 23 (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang menjalani transformasi strategik susulan penswastaannya, pemegang saham baharunya memberi fokus pada menambah baik perjalanan penumpang, membaik pulih dan menggiatkan semula infrastruktur serta meningkatkan kecekapan operasi merentas rangkaian.
Pengerusi MAHB Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata ahli lembaga baharu itu sedang menjalankan penilaian menyeluruh untuk menentukan hala tuju paling berkesan bagi pengendali lapangan terbang tersebut.
“Kami sedang menilai data dan prestasi dari semasa ke semasa untuk mewujudkan hala tuju strategik yang seiring dengan pertumbuhan dan kemampanan jangka panjang.
“Pemegang saham baharu mengambil pandangan holistik jangka panjang mengenai keperluan kapasiti dan pelaburan diperlukan untuk memenuhinya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Pada 12 Februari, 2025, Gateway Development Alliance (GDA), konsortium terdiri daripada Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (Global Infrastructure Partners - GIP) memperoleh 1.64 bilion saham MAHB atau 98.68 peratus daripada modal terbitan syarikat itu setakat 5 petang pada tarikh tersebut.
Seterusnya, pada 13 Februari, MAHB mengemukakan permohonannya untuk menyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan hari terakhir dagangan awamnya pada 19 Februari.
Ia telah dinyahsenarai secara rasmi pada 26 Februari berikutan kejayaan langkah penswastaan.
Urus niaga itu menimbulkan persoalan mengenai penglibatan pelabur asing dalam aset negara.
Menangani kebimbangan itu, Nungsari menekankan bahawa lapangan terbang kekal sebagai aset negara dengan MAHB meneruskan sebagai pengurus dilantik kerajaan di bawah Perjanjian Operasi (OA) sedia ada, satu mekanisme yang mengekalkan pengawasan kerajaan walaupun ada penyertaan asing.
“Tambahan pula, saham khas (golden share) kerajaan kekal dalam MAHB,” katanya.
Perjanjian operasi menjamin pertumbuhan jangka panjang
Pada 18 Mac, 2024, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan dan MAHB menandatangani OA baharu, berkuat kuasa selama 45 tahun sehingga 11 Februari, 2069.
Di bawah perjanjian itu, pengendali lapangan terbang akan terus mengendalikan, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports)
Nungsari berkata OA menyediakan rangka kerja berstruktur untuk pelaburan infrastruktur jangka panjanjian, pada masa sama memastikan kemampanan kewangan.
Beliau menegaskan bahawa lapangan terbang itu kekal milik kerajaan dan penswastaan itu tidak menjejaskan kedudukan kerajaan kerana perlindungan undang-undang termaktub dalam OA berkenaan.
“Perjanjian itu membolehkan MAHB membiayai projek infrastruktur terlebih dahulu dengan mekanisme sedia ada untuk memulihkan kos dari semasa ke semasa melalui caj terkawal walaupun di bawah pemilikan swasta,” katanya.
Beliau berkata OA membolehkan MAHB meningkatkan pengalaman penumpang, menaik taraf kemudahan dan memenuhi permintaan kapasiti masa hadapan tanpa tekanan kewangan sambil terus berkhidmat untuk kepentingan awam.
MAHB kekal bertanggungjawab untuk menyelenggara semua 39 lapangan terbang termasuk domestik dan STOLports, kebanyakannya tidak berdaya maju secara komersial tetapi memainkan peranan perkhidmatan awam yang kritikal.
"Sebagai sebahagian daripada perjanjian kami dengan kerajaan, kami perlu menguruskan semua lapangan terbang, bukan hanya yang menguntungkan. Memastikan keselamatan dan penyelenggaraan aset kekal menjadi keutamaan," katanya.
Ditanya sama ada penswastaan itu diterima baik secara dalaman, Nungsari berkata pekerja dan kesatuan sekerja telah terlibat sepanjang proses itu.
"Peralihan ini adalah mengenai pertumbuhan dan penambahbaikan operasi bukan pemotongan kos. Pekerja memahami bahawa proses yang lebih baik memberi manfaat kepada semua orang," katanya.
Pengoptimuman infrastruktur dan kecekapan terminal
Mengenai kecekapan lapangan terbang, Nungsari berkata salah satu cabaran utama ialah mengoptimumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terutamanya menangani jurang perbezaan antara Terminal 1 yang hampir penuh kapasitinya dan Terminal 2 yang kurang digunakan.
Dengan tiga landasan menyediakan kapasiti penerbangan yang mencukupi, beliau berkata keutamaan adalah untuk memperhalusi operasi terminal dan menaik taraf aset yang sudah tua sebelum komited untuk pengembangan selanjutnya.
Kajian terperinci unjuran trafik akan menentukan keputusan berkaitan infrastruktur masa depan.
With three runways providing sufficient flight capacity, he said the immediate priority is to refine terminal operations and upgrade ageing assets before committing to further expansion. A detailed review of traffic projections will guide future infrastructure decisions.
Kekuatan kewangan dan fokus pelaksanaan
Nungsari berkata walaupun MAHB diswastakan, ia kekal kukuh dari segi kewangan, disokong oleh mekanisme pembiayaan di bawah OA dan penarafan kredit yang kukuh untuk memudahkan penjanaan modal.
"Pembiayaan bukan satu isu. Tumpuan utama sekarang ialah pelaksanaan, menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengikut belanjawan, menaik taraf infrastruktur kritikal seperti sistem pengendalian bagasi yang sedang berjalan sekarang,” katanya.
Kenapa pelabur asing?
"Kami memerlukan pelabur asing untuk membantu menjadikan lapangan terbang lebih cekap dan berdaya saing. GIP membawa keupayaan operasi kepada projek itu," katanya.
Dari perspektif pasaran, beliau berkata pelabur asing telah memegang kira-kira 29 peratus saham MAHB sebelum penswastaan.
Penyertaan GIP adalah seiring dengan tahap pemilikan sebelum ini.
Akhirnya, tumpuan diberikan kepada penambahbaikan dan pertumbuhan dengan setiap ahli konsortium itu menggabungkan kepakarannya di bawah satu bumbung untuk meningkatkan operasi lapangan terbang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial