EKONOMI > BERITA

JINGXING GROUP KOMITED SEDIAKAN RM1.9 BILION BAGI PENGEMBANGAN OPERASI DI MALAYSIA

22/04/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Zhejiang Jingxing Paper Joint Stock Co. Ltd, Jingxing Holdings (M) Sdn Bhd komited menyediakan RM1.9 bilion bagi pengembangan fasa kedua operasinya di Banting, Selangor.

Jingxing Paper dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan bersama pada Isnin berkata pengembangan ini akan memperkenalkan pembuatan termaju yang disokong oleh kuasa terma bersepadu, rawatan air dan sistem pengurusan air sisa.

Projek ini akan menambah kapasiti pengeluaran tahunan Kraft Liner sebanyak 600,000 tan, menjadikan jumlah pelaburan syarikat China ini di Malaysia berjumlah RM3 bilion.

Menurutnya sistem automasi kemudahan ini dijangka melahirkan 500 pekerjaan baharu dan menjana lebih RM45 juta dalam perbelanjaan operasi tempatan tahunan.

“Pengembangan ini mengukuhkan keupayaan eksport Malaysia, dengan 70 peratus daripada pengeluaran diperuntukkan untuk pasaran antarabangsa.

“Pelaburan ini dibina berdasarkan sektor pembuatan kertas Malaysia yang semakin berkembang, yang menarik RM877.9 juta pada 2024 termasuk RM578.4 juta dalam pelaburan asing,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Promosi dan Kemudahan Pelaburan) MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata komitmen terbaru Jingxing adalah seiring dengan keutamaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan industri yang mampan.

“Fasiliti ini menonjol bukan sahaja disebabkan skalanya, malah berikutan kejuruteraan alam sekitar -- daripada sistem perawatan air gelung tertutup kepada pemulihan tenaga berasaskan kojana.

“Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil dan berasaskan peraturan, dan kami melihat komitmen jangka panjang daripada pelabur strategik seperti Jingxing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Timbalan Pengerusi Jingxing Malaysia, Wang Zhiming berkata keputusan syarikat untuk membangunkan operasi ini didorong oleh lokasi strategik Malaysia dan sokongan yang berterusan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

“Loji baru ini, sebaik sahaja siap, akan mengukuhkan lagi rangkaian dan kualiti produk kami. Kami memberikan tumpuan kepada kecekapan perkhidmatan, pengambilan pekerja dan integrasi rantaian bekalan tempatan.

“Kami menyasarkan untuk memacu inovasi teknologi dan membina perkongsian jangka panjang dalam industri kertas dan pada masa sama akan terus memenuhi jangkaan pelanggan bagi barangan yang dihasilkan secara mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan