CYBERJAYA, 22 April (Bernama) -- Kemunculan perkongsian perdagangan baharu dalam kalangan blok ekonomi adalah penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan perdagangan antarabangsa yang teratur terutamanya ketika berdepan dengan cabaran global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata dalam konteks itu, ASEAN memainkan peranan penting dengan sumbangan ekonomi yang besar serta penglibatan strategiknya.
Chang berkata memandangkan perubahan dinamik perdagangan global sedang berlaku, ASEAN dan negara-negara anggotanya memiliki peluang unik untuk memperkukuh kerjasama serantau, mempelbagaikan rakan dagang, menggalakkan perdagangan intra-ASEAN, melabur dalam inovasi serta memperkukuh diplomasi melalui sains dan teknologi.
"Usaha ini, bersama seperti Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025, akan membantu mengurangkan potensi kesan gangguan perdagangan dan memupuk hubungan perdagangan yang stabil serta saling menguntungkan rakan-rakan global," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Mikro-MyStartup NXT 2025 yang dianjurkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena pelancaran Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025.
Diumumkan pertama kalinya pada Disember 2024, inisiatif Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025 menandakan satu lembaran baharu dalam evolusi ASEAN sebagai blok inovasi yang berpengaruh di peringkat global.
Chang berkata Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025 bukanlah satu permulaan – ia adalah gelombang seterusnya daripada perjalanan yang telah dimulakan oleh kementerian sejak 2024. Malaysia telah menyediakan asas untuk memperkasa usahawan, menghubungkan ekosistem dan memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN melalui inovasi.
Beliau berkata inisiatif itu dibangunkan berasaskan visi ASEAN 2025, dengan meletakkan syarikat pemula niaga sebagai pemangkin kepada kerjasama rentas sempadan, pertumbuhan digital dan pembangunan sosioekonomi.
"Malaysia terus memimpin usaha inovasi serantau setelah baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) serta Mesyuarat Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN+3 (AFCDM+3).
"Satu lagi pencapaian penting yang akan datang termasuk pelancaran platform Pemula Niaga ASEAN (www.startup-asean.org) dan Sidang Kemuncak Pemula Niaga ASEAN yang pertama," katanya.
Chang berkata ASEAN terus menjadi destinasi yang menarik bagi syarikat pemula niaga dan pelabur. Pada 2022, rantau itu menjadi rumah kepada 52 unicorn, yang menunjukkan momentum sebenar yang dimilikinya.
"Pertumbuhan pelaburan di ASEAN adalah luar biasa, dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) mencatat rekod US$230 bilion pada 2023. Ini menjadikan ASEAN sebagai kuasa yang kukuh dalam landskap inovasi global."
"Tahun Pemula Niaga ASEAN dipimpin oleh Malaysia, tetapi ia berdepan cabaran serantau, program pembangunan kapasiti dan sidang kemuncak, yang semuanya bertujuan meningkatkan ekosistem syarikat pemula niaga serantau secara keseluruhan – refleksi daripada komitmen kolektif rantau ini untuk memajukan ekosistem syarikat pemula niaga," katanya.
Sebagai contoh, sebanyak 4,430 syarikat pemula niaga telah mendaftar melalui portal Tetingkap Tunggal MYStartup, yang dilaksanakan untuk menghubungkan pengasas dengan bakat-bakat berpotensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke berkata pihaknya sedang membina lebih daripada sekadar platform. Ia sedang membentuk rantau di mana syarikat pemula niaga boleh berkembang maju secara kolektif.
"Tahun Pemula Niaga ASEAN adalah seruan untuk bekerjasama, berdaya tahan dan bercita-cita global. Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh arus geopolitik – daripada teknologi yang sedang berkembang kepada penyusunan semula perdagangan seperti tarif terkini – ASEAN perlu bangkit dan bersatu.
"Cradle, melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup dan Inisiatif Pemula Niaga ASEAN sedang mengubah aspirasi serantau kepada peluang nyata – menghubungkan pengasas, pelabur dan pasaran merentas sempadan," katanya.
Laporan Tahunan MYStartup 2023/2024 yang dilancarkan hari ini menunjukkan ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia yang semakin berkembang, dengan lebih 4,300 syarikat pemula niaga telah didaftarkan, menyokong 17,000 individu dan lebih RM100 juta pelaburan berjaya diperoleh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial