EKONOMI > BERITA

TPM FADILLAH ADAKAN KUNJUNGI HORMAT KE ATAS NAIB PRESIDEN TURKIYE

22/04/2025 06:14 PM

Daripada Salawaty Supardi

ANKARA, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memulakan lawatan kerja rasminya ke Turkiye dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Turkiye Cevdet Yilmaz di kompleks presiden di sini pada Selasa.

Ketibaan Fadillah yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada pukul 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) disambut sendiri oleh Yilmaz.

Semasa pertemuan selama sejam itu, Fadillah diiringi Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Mareena Mahpudz dan para pegawai kanan kerajaan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar Negeri Turkiye Berris Ekinci, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ahmet Berat Conkar, Penyelaras Ekonomi kepada Naib Presiden Turkiye Ahmet Oguz Sarica dan Penasihat Hal Ehwal Luar Naib Presiden Ebubekir Dursun

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini pada Isnin bagi lawatan kerja rasmi bermula hari ini hingga esok dan lawatan itu adalah susulan lawatan rasmi Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada 10 dan 11 Feb lepas.

Fadillah kemudiannya akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga susulan pertukaran surat hasrat antara kerajaan Malaysia dan Turkiye, yang akan turut diiringi Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim.

Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan kerja ke GEAS Company di Istanbul pada Rabu untuk meneroka potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan dalam bidang strategik itu.

Menurut PETRA, Turkiye merupakan antara negara terbesar dalam penghasilan tenaga boleh baharu (TBB) di benua Eropah dan dunia dengan lebih 50 peratus kapasiti tenaga elektrik daripada sumber penjanaan tenaga bersih seperti solar, hidroelektrik dan geotermal.

Selepas lawatan ke Turkiye, Fadillah seterusnya akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak The Future of Energy Security (Masa Depan Keselamatan Tenaga) pada 24-25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Kerajaan United Kingdom (UK).

Sidang kemuncak itu menyediakan platform bagi para pemimpin, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk  berbincang mengenai isu keselamatan bekalan tenaga, kestabilan sumber, cabaran geopolitik dan perkembangan pesat teknologi.

Antara pemimpin tertinggi yang dijadualkan hadir pada sidang kemuncak itu termasuklah Perdana Menteri UK Keir Starmer, Setiausaha Negara bagi Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih UK Ed Miliband serta Pengarah Eksekutif IEA Dr Fatih Birol.

Fokus utama persidangan itu akan menyentuh mengenai aspek keselamatan sumber dan bekalan tenaga merangkumi pemetaan landskap keselamatan tenaga serta mengenal pasti risiko, peluang dan tindakan dalam memastikan keterjaminan sumber dan bekalan tenaga.

Menerusi sidang kemuncak itu Malaysia akan mengetengahkan dasar sedia ada dan hala tuju negara khususnya berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) serta usaha dan komitmen negara melaksanakan penjanaan tenaga pada masa depan menggunakan sumber bahan api bersih dan teknologi hijau.

Selain itu, hubungan dua hala Malaysia dan UK akan diperkukuh melalui potensi kerjasama khususnya berkaitan penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik untuk memastikan keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga.

Fadillah akan turut mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri tenaga serta ketua organisasi antarabangsa tenaga

Peluang itu, kata PETRA, akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan, membuka peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan mendapatkan penjelasan berhubung dasar dan hala tuju negara, khususnya dalam membangunkan sektor tenaga serta teknologi rendah karbon ke arah menyokong aspirasi peralihan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri juga akan bertemu dengan diaspora Malaysia di UK pada Jumaat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan