EKONOMI > BERITA

USAHAWAN BELIA HARUS BERANI DAN BERDAYA TAHAN DEMI KEJAYAAN NIMP 2030 - TENGKU ZAFRUL

18/04/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Usahawan belia negara harus berani dan berdaya tahan demi memastikan kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang beraspirasi tinggi itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata NIMP 2030 menyasarkan Malaysia sebagai peneraju global dalam pembuatan termaju, teknologi hijau, inovasi digital dan perkhidmatan bernilai tinggi, kejayaannya bukan sahaja bergantung pada dasar kerajaan tetapi juga tindakan berani usahawan.

“Ia bergantung pada anda...pencetus perubahan bersemangat tinggi, penyelesai masalah dan berwawasan yang sanggup mengambil langkah berani untuk mengubah idea menjadi realiti.

“Usahawan seperti anda adalah penggerak di sebalik pertumbuhan ekonomi Malaysia dan sumbangan anda akan menentukan sejauh mana negara boleh capai,” katanya dalam ucapan di JCI Inspire Fest 2025.

JCI Inspire Fest 2025 anjuran JCI Entrepreneur Metropolitan (JCI E-Metro) dan Radiant Code Sdn Bhd adalah festival selama tiga hari berlangsung dari 18 hingga 20 April, 2025, di Atrium Utama Sunway Velocity Mall di sini untuk meraikan kepimpinan belia, keusahawanan dan kemampanan Malaysia.

Tengku Zafrul berkata belia di Malaysia bukan sahaja sebahagian daripada gerakan nasional tetapi juga teras kepada kuasa besar serantau bagi kemajuan yang didorong oleh belia, ASEAN mempunyai 700 juta penduduk, 300 juta daripadanya terdiri daripada golongan muda.

“Ini menjadikan ASEAN antara rantau paling muda dan dinamik di dunia dengan potensi besar untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan transformasi sosial.

“Tenaga anda, pemikiran inovatif dan celik teknologi meletakkan diri anda untuk memacu pertumbuhan ini, memupuk inovasi, dan menerajui tanggungjawab dalam menangani cabaran global,” katanya.

Menyentuh mengenai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, Zafrul menekankan tema keterangkuman dan kemampanan.

"Kedua-dua prinsip ini adalah teras kepada visi kami untuk rantau ini. Kami percaya bahawa dengan memanfaatkan kuasa belia dan memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif dan mampan, kita boleh mewujudkan ASEAN yang lebih makmur, berdaya tahan dan saksama untuk semua," katanya.

Tengku Zafrul seterusnya menggalakkan usahawan muda untuk berfikir melangkaui kejayaan individu, menekankan kepentingan mencipta nilai untuk masyarakat.

“Sama ada melalui penciptaan pekerjaan, pembangunan komuniti atau penyelesaian inovatif untuk menghadapi cabaran, hasil kerja anda mempunyai kuasa untuk memberi kesan berkekalan kepada kehidupan orang lain.

“Bersama-sama, mari kita menghayati semangat kerjasama dan matlamat bersama dengan memanfaatkan kekuatan kepelbagaian Malaysia, kuasa idea kita dan daya tahan semangat keusahawanan kita untuk membina masa depan yang lebih cerah, lebih inklusif dan mampan untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan