KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Nextgreen IOI Pulp Sdn Bhd (NIP), sebuah syarikat usaha sama (JV) antara Nextgreen Global Bhd (55 peratus) dan IOI Corporation Bhd (45 peratus) telah bekerjasama dengan Hong Kong Paper Sources Co Ltd untuk membangunkan kemudahan pengeluaran pulpa bersepadu bio yang berkapasiti tinggi di Taman Teknologi Hijau, Pekan, Pahang.
Di bawah perjanjian JV yang dimeterai antara NIP dan Hong Kong Paper Sources, anak syarikat milik penuh Xiamen C&D Paper & Pulp Group Co Ltd, NIP akan memegang kepentingan ekuiti sebanyak 75 peratus manakala kumpulan dari China itu pula memiliki baki 25 peratus.
Syarikat-syarikat tersebut melalui satu kenyataan bersama hari ini menjelaskan kemudahan itu akan dibina dalam tempoh 24 bulan di atas tapak 32.77 hektar di Taman Teknologi Hijau, nod utama di dalam zon ekonomi khas Wialayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan akan menggunakan sumber biojisim Malaysia, terutamanya tandan buah kosong bagi menghasilkan pulpa berkualiti tinggi.
"Fasa pertama akan menyaksikan pengeluaran 150,000 tan metrik pulpa setiap tahun, dengan jumlah perbelanjaan modal dianggarkan sebanyak RM900 juta," kata mereka.
NextGreen Global akan menyumbang kepakaran teknikal serta teknologi pulpa mekanis penyulingan kimia yang dipatenkan miliknya, manakala Xiamen C&D pula akan menerajui usaha pengambilan dan pengedaran produk.
Pengurus Besar Xiamen C&D Paper & Pulp, Zhang Xiao Hui berkata usaha sama tersebut mencerminkan bukti sinergi yang semakin meningkat antara China dan Malaysia dalam membina ekonomi yang lebih hijau, selain menjadi inisiatif penting untuk kumpulan Xiamen C&D dalam sektor pulpa dan kertas.
"Dengan mengintegrasikan kelebihan NIP dalam penyumberan biojisim dan pemprosesan inovasi, bersama-sama dengan rangkaian pengedaran yang mantap, perkongsian ini meletakkan asas bagi rantaian bekalan pulpa dan kertas yang lebih mampan, serta ekonomi serantau yang lebih bersepadu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial