EKONOMI > BERITA

BHPETROL CADANG BANGUNKAN 30 STESEN MINYAK BAHARU DI LUAR BANDAR

13/04/2025 04:23 PM

JOHOR BAHRU, 13 April (Bernama) -- Syarikat subsidiari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Bhd, BHPetrol bercadang membina sehingga 30 stesen minyak baharu di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Azizul Azily Ahmad berkata setiap stesen minyak dianggarkan melibatkan kos RM3 juta, dengan pelaksanaannya melibatkan tempoh lima tahun bagi memastikan pembekalan minyak secara sistematik di seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia.

Menurutnya sasaran ini juga sebagai usaha untuk memastikan bekalan minyak bersubsidi dapat dinikmati oleh setiap golongan yang layak di negara ini termasuk anggota pertahanan negara yang berkhidmat di seluruh pelusuk tanah air terutama kawasan luar bandar.

"Sebagai anak syarikat kepada LTAT, BHPetrol terus melangkah ke hadapan secara proaktif, seiring dengan hasrat dan komitmen kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian stesen minyak BHPetrol Seri Alam yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini.

Azizul Azily berkata usaha pembukaan lebih banyak rangkaian stesen minyak khususnya di kawasan strategik dan luar bandar adalah bukti iltizam BHPetrol dalam menghapuskan kebergantungan terhadap minyak dalam botol.

Menurutnya pada masa sama langkah ini akan memperluas akses rakyat kepada kemudahan bekalan bahan api yang selamat, sah dan bersubsidi.

Sementara itu, katanya dengan pembukaan Stesen BHPetrol Bandar Seri Alam hari ini, jumlah keseluruhan stesen BHPetrol di Johor telah mencecah 82 buah.

"Pembukaan stesen minyak terbaru ini adalah satu pencapaian yang bukan sahaja membanggakan malah memperkukuh jaringan sokongan bekalan minyak terutamanya yang bersubsidi kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan