Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan semua rakan dagang termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi mencari penyelesaian seimbang dan progresif untuk mencapai ekonomi global lebih berdaya tahan dan mampan.
,Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ASEAN komited untuk tidak mengambil sebarang langkah tindak balas terhadap tarif yang dikenakan AS baru-baru ini.
“Di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kita komited untuk mengukuhkan daya tahan kewangan dan mempercepatkan integrasi kewangan dalam ASEAN, sekali gus menyokong integrasi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada hari akhir Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan, di sini, hari ini.
Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Amir Hamzah berkata ASEAN sedang memantau rapat situasi tidak menentu global dan bersedia untuk menangani sebarang keadaan turun naik sekiranya perlu.
“ASEAN terus komited kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan serta integrasi ekonomi ASEAN,” tegasnya.
Menurutnya, walaupun berdepan cabaran global yang berterusan, termasuk dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik, prospek ekonomi ASEAN kekal kukuh.
Beliau berkata rantau ini dijangka mengekalkan pertumbuhan kukuh melebihi empat peratus pada 2025 dan 2026.
“Rantau kita terus diteraju oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang rancak, pemulihan eksport dan keadaan pekerjaan yang bertambah baik.
“Namun begitu, kita akan tetap berwaspada terhadap risiko pertumbuhan jangka pendek dan sederhana terutamanya yang berpunca daripada penyusutan perdagangan global, aliran pelaburan dan baru-baru ini mengumumkan tarif timbal balik tambahan dan baharu oleh AS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial