EKONOMI > BERITA

AIRBUS, AMIC BEKERJASAMA KAJI RANTAIAN BEKALAN SAF DI ASIA PASIFIK

10/04/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Airbus dan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC)  memeterai satu perjanjian kerjasama penyelidikan dan teknologi bagi meneliti rantaian bekalan bahan api penerbangan mampan (SAF) di serata Asia Pasifik.

Pengeluar pesawat global itu menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam mengenal pasti peluang serta mengoptimumkan proses yang menyokong pengeluaran SAF, sekali gus menyumbang kepada usaha penyahkarbonan industri penerbangan.

“Usaha penyelidikan bersama itu akan menumpukan negara-negara ASEAN dan negara Asia Pasifik  terpilih.

“Sebahagian daripada perjanjian itu menetapkan kedua-dua pihak akan mengumpul dan menganalisis data kritikal dari seluruh rantau ini selain mengkaji arah aliran dan dinamik yang mempengaruhi ketersediaan dan pengeluaran bahan mentah SAF," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Airbus berkata kedua-dua pihak akan turut meneliti bahan mentah dan laluan disahkan di bawah rangka kerja Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa bagi Penerbangan Antarabangsa (ICAO-CORSIA) dan mengenal pasti calon berpotensi untuk kemasukan di masa depan.

Ketua Pegawai Kemampanan Airbus Julie Kitcher berkata Airbus komited untuk memacu kemajuan ekosistem SAF di peringkat global yang turut membuka potensi rantau Asia Pasifik.

“Kerjasama dengan AMIC akan membolehkan kami mengukuhkan lagi penglibatan di Malaysia dengan menggalakkan penyelidikan yang menyokong industri SAF tempatan.

“Inilah caranya bagaimana kami dapat menggerakkan impian dengan bekerjasama, memanfaatkan kemampuan penyelidikan dan kepakaran industri untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serantau selain matlamat mampan sektor penerbangan yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AMIC Dr Zakri Abdul Hamid berkata kerjasama itu jelas memaparkan komitmen AMIC bagi memupuk aspek inovasi yang menangani cabaran penghasilan bahan mentah serta SAF.

“Menerusi tumpuan ke atas pengoptimuman rantaian bekalan, kami berhasrat memacu pembangunan SAF di rantau Asia Pasifik bagi menyokong matlamat kelestarian industri,” katanya.

Sebagai teras dalam perjalanan penyahkarbonan industri aeroangkasa, SAF menyumbang kepada purata 80 peratus pengurangan pelepasan karbon sepanjang kitaran hayat berbanding bahan api fosil, daripada peringkat pengeluaran sehingga penggunaan akhir.

Semua pesawat Airbus sudah dapat beroperasi dengan penggunaan sehingga 50 peratus SAF.

Syarikat itu juga menyasarkan semua pesawatnya mampu beroperasi dengan kapasiti SAF sehingga 100 peratus menjelang 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan