EKONOMI > BERITA

TARIF, TRUMP DAN DAGANGAN : MENGAPA MALAYSIA PERLU BERTAHAN BERBANDING TINDAK BALAS

09/04/2025 04:01 PM

Oleh Phar Kim Beng

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas eksport Malaysia baru-baru ini hanya membuktikan pusingan ‘tajam’ dalam diplomasi ekonomi global dan antara simptom yang memburukkan lagi kegelisahan geopolitik.

Kehadiran semula Donald Trump mendiami Rumah Putih, turut memaksa dunia untuk sekali lagi melakukan penyesuaian dengan label nasionalisme laungannya yang jelas menggabungkan perdagangan dengan leveraj, diplomasi dan dominasi.

Walaupun tarif-tarif ini berkemungkinan dipaparkan secara terma ekonomi, semua ini sebaliknya harus diterjemahkan menerusi lensa geopolitik.

Perang perdagangan, sepertimana ketenteraan, jarang sekali berkisar mengenai apa yang didakwa. Realitinya, ia adalah instrumen pengaruh, dikerah bukan hanya untuk melindungi industri domestik, tetapi membentuk tingkah laku global.

Kuasa-kuasa besar ini beroperasi dengan cara berbeza. Mereka tidak hanya mempunyai kemampuan melancarkan perang ketenteraan atau ekonomi, tetapi juga ketahanan bagi menyerap kosnya.

Namun, bebanan yang terbentang jarang bersertakan keadilan bersama. Sebaliknya, rakyat biasa, tidak kiralah di dalam negara mahupun luar negara, yang harus membayar risikonya.

AS di bawah pemerintahan Trump menyaksikan tarif bukan sekadar dasar, tetapi menjadi pentas atau teater mereka.

Ia turut menjadi satu deklarasi bahawa AS tidak lagi bertolak ansur mengenai kebergantungan ekonomi walaupun ini sebenarnya hanya mengundang padah jangka pendek untuk kalangan pengguna negara maju itu sendiri.

Kehadiran semula Trump telah membangkitkan semula doktrin “Make America Great Again" (Jadikan AS Hebat Semula) yang bertujuan membentuk semula rantaian bekalan global selain memusnahkan apa yang beliau anggap sebagai amalan perdagangan tidak adil.

 

Asakan tekanan tarif

 

Sudut pandang dunia sedemikian hanya menyebabkan negara-negara seperti Malaysia, tidak terkecuali daripada tekanan.

Logiknya pula transaksional -- jika anda menjual terlalu banyak kepada AS, anda akan dihukum tanpa mengambil kira kewujudan hubungan yang sudah lama terjalin atau bersandarkan kepentingan bersama.

Bagi Malaysia yang juga sebuah negara perdagangan berdasarkan kelaziman dan keperluan, implikasinya adalah serius.

Sejarah misalnya telah membuktikan pengalaman kita terperangkap dalam kesan tsunami ekonomi global.

Sewaktu tempoh “Great Depression” (Zaman Meleset) pada 1930-an, Akta Tarif Smoot-Hawley AS telah mencetuskan tindak balas global.

Tanah Melayu atau Malaya ketika itu, merupakan pengeksport utama getah dan timah, terjejas teruk susulan kemerosotan permintaan.

Kini, hampir seabad kemudiannya, Malaysia berdepan implikasi sama.

Bagaimanapun, sekarang bukanlah 1930. Ekonomi global kini lebih saling bergantung manakala peranan Malaysia juga lebih sofistikated.

Pada hari ini, kita mengeksport bukan sahaja komoditi mentah tetapi komponen bernilai tinggi yang menghidupkan kuasa teknologi global.

Malah, 67 peratus daripada eksport berkaitan semikonduktor Malaysia, telah dikecualikan daripada tarif berkadar 24 peratus yang baharu diumumkan dan hanya satu peratus eksport minyak sawit kita menerima kesannya.

Sebaliknya, negara-negara jiran seperti Vietnam, Kemboja dan Laos dikenakan tarif menyeluruh sebanyak 46 peratus ke atas sektor-sektor utama.

Mesejnya jelas -- Malaysia disiku, bukan dihukum. Namun, asakan tekanannya tetap nyata.

 

Gesaan bertahan, bukan tindak balas

 

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berada dalam kedudukan unik membentuk  tindak balas serantau yang bukan menerusi saluran konfrontasi, tetapi pendekatan yang lebih tenang. Ini adalah tempoh untuk bertahan, bukannya membalas semula. 

Langkah tindak balas sedemikian harus ditolak, kerana jarang sekali ada pihak yang menang dalam memerangi tarif, malah kuasa pertengahan seperti Malaysia lebih terdedah mendapat kerugian daripada keuntungan.

Justeru, tindak balas dengan cara lebih tenang bukanlah satu bentuk kelemahan, tetapi kematangan strategik.

Kita juga harus mencabar naratif ringkas 'lebihan' perdagangan Malaysia dengan AS yang sering didakwa sebanyak US$24 bilion.

Angka itu mengetepikan aliran kritikal dalam perkhidmatan dan perdagangan digital dengan syarikat AS menikmati kelebihan besar. Syarikat seperti Netflix, Amazon, Meta (Facebook), dan pelbagai platform dalam talian yang lain mendominasi penggunaan digital Malaysia.

Ini adalah eksport yang tidak diambil kira yang memberi manfaat kepada AS dari segi ekonomi, walaupun ia tidak dipaparkan dalam data perdagangan tradisional.

Pemahaman ini harus menjadi bimbingan dalam menggunakan pendekatan diplomatik Malaysia terhadap AS.

Berbanding melaksanakan pendekatan yang berpaksikan undang-undang di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun dan membuahkan hasil tidak sepertimana  diharapkan, Malaysia harus melibatkan AS melalui dialog yang tenang dan secara berterusan.

Saluran dua hala, disokong oleh data dan pragmatisme dilihat menawarkan laluan terbaik bagi mencapai tujuan tersebut.

Di peringkat dalam negera, sektor yang disasarkan seperti perabot, tekstil dan komoditi tertentu yang tidak dilindungi oleh pengecualian, mungkin terjejas. Industri-industri ini mengupah sejumlah besar rakyat Malaysia dan mungkin menjadi sensitif dari segi politik.

Bagaimanapun, terdapat potensi untuk sektor baharu seperti tenaga solar yang mendapat galakan oleh dasar perindustrian pentadbiran Trump dan boleh dikembangkan di AS, sekali gus dapat mengatasi isu tarif dan meraih manfaat daripada insentif baharu.

 

Haluan masa depan Malaysia

 

Secara ringkasnya, Malaysia tidak boleh menganggap tarif ini sebagai satu bentuk penghinaan peribadi atau ultimatum iaitu kata dua geopolitik.

Ia adalah sebahagian daripada strategi yang mencerminkan kepentingan AS dalam penguasaan ekonomi dan meluaskan pengaruhnya secara strategik.

AS di bawah pimpinan Trump bersifat transaksional, tetapi bukan sepenuhnya di luar jangkaan, kerana memberi leveraj kepada pihak yang patuh kepada dasarnya dengan manfaat apabila dalam keadaan yang lebih tenang.

Bagi Malaysia, jalan terbaik untuk maju adalah dengan kekal teguh, berprinsip dan berwaspada.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia harus mengelak provokasi yang mahu menjadikan perkara ini sebagai isu blok.

Perpaduan ASEAN belum jitu dan kuasa luar yang akan mendapat manfaat daripada cubaan mengubah pergeseran ekonomi menjadi isu serantau.

Dalam dunia yang dibentuk oleh hegemoni berpecah-belah dan kebangkitan semula nasionalisme, kuasa pertengahan seperti Malaysia harus mengemudi isu tarif ini dengan lebih cerdas.

Ini bermakna memilih diplomasi berbanding drama, tenang berbanding konfrontasi.

Biarlah kuasa besar ini dengan lagak mereka.

Malaysia sebaliknya perlu berperanan memimpin dengan tenaga kekuatan serba tenang serta kebijaksanaan strategik.

-- BERNAMA

 

 * Penulis merupakan Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan