EKONOMI > BERITA

CGS INTERNATIONAL SASAR SEHINGGA 10,000 PENGGUNA SERTAI PLATFORM 'UP'

08/04/2025 08:50 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8  April (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) menyasarkan seramai 10,000 pengguna didaftarkan bagi platform dagangan saham pecahan yang baharu dilancarkan di Bursa Malaysia iaitu UP.

UP, sebuah platform dagangan saham pecahan pertama di Bursa Malaysia, menggalakkan golongan muda dan individu berpendapatan rendah untuk melabur dalam pasaran modal.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairi Shahrin Arief Baki berkata platform ini menawarkan potensi besar dengan menyasarkan penuntut universiti dan golongan berpendapatan rendah untuk melabur serendah AS$1 sebulan (AS$1=RM4.49).

“Kami merasakan (UP) mempunyai pasaran dan kini penuntut universiti serta golongan berpendapatan rendah mempunyai akses untuk memasuki pasaran dengan mudah,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran ‘UP’ sempena Persidangan Pelaburan ASEAN, di sini hari ini.

Aplikasi ini juga memenuhi aspirasi untuk akses yang lebih besar ke pasaran modal yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia.

"Dagangan saham pecahan sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, cuma ia tidak pernah dilakukan sebelum ini di Malaysia, jadi kami ingin turut mempromosikan Bursa Malaysia melalui inisiatif ini.

"Ia merupakan tanggungjawab sosial kami, baik kepada komuniti mahupun Bursa Malaysia dengan mempromosikan saham Bursa, oleh itu pelabur boleh mula melabur dengan 30 syarikat tersenarai teratas," katanya.

Sementara itu, CGS MY melancarkan edisi ketiga Cabaran Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 hari ini.

AIC  dilancarkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Tahun ini kumpulan diperkenalkan dengan cabaran di pasaran baharu, Filipina.

AIC 2025 adalah sebahagian daripada komitmen untuk meluaskan jangkauan bagi memupuk pelaburan kewangan yang lebih besar dalam kalangan golongan muda ASEAN, kata syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan