KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Mekanisme pembiayaan yang inovatif penting bagi ASEAN untuk mempercepat peralihannya ke arah ekonomi rendah karbon sambil mengukuhkan daya tahan iklim dengan cara yang adil, inklusif dan teratur, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini komited untuk memacu penyampaian ekonomi utama yang transformatif bagi menangani cabaran iklim mendesak di rantau ini menerusi kewangan.
"Bidang keutamaan kita termasuk memangkin akses kepada kewangan bagi peralihan yang adil dan teratur serta membina ASEAN yang berdaya tahan iklim. Ini melibatkan mendapatkan mekanisme dan penyelesaian pembiayaan yang inovatif bagi menyokong inisiatif infrastruktur seperti Grid Kuasa ASEAN dan projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon.
“Saya percaya jika kita memikirkannya secara bersama-sama, kita boleh memanfaatkan potensi besar dan peluang daripada tindakan menangani iklim dan meninggalkan legasi kemakmuran ekonomi yang berkekalan untuk generasi akan datang,” katanya menerusi ucapan perasmian persidangan Meja Bulat Pelabur ASEAN, di sini, hari ini.
Pada persidangan Meja Bulat bertajuk 'Memanfaatkan Peluang untuk Memajukan Inisiatif Iklim ASEAN' itu, Amir Hamzah turut menegaskan bahawa rantau ASEAN berada di kedudukan yang baik untuk memacu peralihan hijau dan usaha membina daya tahan iklim, sambil mengukuhkan keselamatan ekonomi dan tenaga.
"Kita telah melihat ini pada masa lalu dengan tumpuan ke arah penjanaan tenaga boleh baharu. Dalam bidang ini, ASEAN unggul sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global terutamanya dalam teknologi solar dan ia kekal sehingga hari ini.
"Itulah sebabnya, daripada melihat langkah menangani iklim sebagai beban atau penghambat pertumbuhan, kita boleh jadikan ia peluang untuk menyalakan enjin pertumbuhan baharu. Justeru, hubungan dengan pembekal dan industri dalam rantaian bekalan perlu dipertingkatkan dalam ASEAN selain membangunkan modal insan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi pertumbuhan," katanya.
Menurutnya, dalam usaha menyalurkan aliran kewangan ke arah penyahkarbonan dan aktiviti hijau, rantau ini telah membangunkan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan yang boleh dirujuk oleh pelabur dan pembiaya apabila membuat keputusan.
Beliau berkata versi keempat taksonomi itu dijangka dikeluarkan pada akhir tahun ini.
"Kepentingan ekonomi dan iklim adalah jelas, tetapi untuk mencapai kemajuan yang bermakna memerlukan persekitaran kawal selia yang menyokong, dibentuk oleh sektor awam. Jelas sekali sektor awam memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pelaburan hijau.
"Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh menjadi satu-satunya pemacu dalam usaha menangani iklim. Memandangkan pelaburan besar yang diperlukan, agak sukar bagi kerajaan untuk memenuhi semua keperluan pembiayaan, ketika kita mengimbangi dan menangani pertukaran ganti antara pembangunan ekonomi dan perbelanjaan menangani iklim," kata Amir Hamzah.
Dalam hal ini, beliau berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci, yang mana, PPPP atau model perkongsian awam-swasta dan dermawan (4P) akan menjadi penting untuk mempercepatkan tindakan menangani iklim sejajar dengan keutamaan nasional dan serantau.
"Sudah tentu, ada banyak modaliti, seperti pembiayaan gabungan, yang boleh diteroka. Secara khususnya, kewangan Islam menawarkan struktur inovatif yang boleh dimanfaatkan," katanya.
Persidangan Meja bulat itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 selama empat hari dan mesyuarat berkaitan, yang bermula hari ini.
Lebih 300 delegasi, terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta menghadiri AFMGM dan mesyuarat berkaitan serta persidangan dan pameran pelaburan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial