EKONOMI > BERITA

KERAJAAN MADANI SEDANG LAKSANA LANGKAH KUKUH ATASI KESAN TARIF AS - TENGKU ZAFRUL

07/04/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kerajaan MADANI sedang melaksanakan langkah kukuh untuk mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata beberapa langkah sedang dilakukan kerajaan, termasuk oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), untuk mengatasi implikasi tarif yang dikenakan oleh AS.

 “Antaranya adalah pengaktifan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC), dengan MITI sedang menjalankan kajian impak sektor yang menumpukan kepada sektor eksport utama ke AS. Hasil dapatan itu akan dibentangkan kepada NGCC, yang dijangka bersidang tidak lama lagi,” katanya pada sidang media mengenai kesan tarif AS di sini, Isnin.

Beliau berkata MITI juga telah menubuhkan pasukan petugas untuk menguruskan tarif AS, menyasar untuk mengumpul maklum balas daripada kalangan pihak berkepentingan utama termasuk wakil daripada sektor swasta.

Pasukan petugas itu berusaha untuk meminimumkan kesan tindakan unilateral AS terhadap eksport dan pelaburan Malaysia, katanya.

“Esok MITI akan bermesyuarat dengan wakil-wakil dewan perindustrian dan persatuan eksport selain bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kita akan melakukan segala yang mungkin dalam mempertimbangkan semua pilihan untuk memastikan kesejahteraan industri, perniagaan dan rakyat kita,” katanya.

Sementara itu, di peringkat ASEAN, Tengku Zafrul berkata beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April untuk membincangkan kesan lebih luas susulan langkah tarif AS ke atas perdagangan dan aliran pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi serta respons bersepadu ASEAN,

Beliau berkata seterusnya, para pemimpin ASEAN dijadual bermesyuarat untuk membincangkan cadangan tindakan negara anggota dan untuk mengurangkan kemungkinan gangguan terhadap perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah meneruskan penglibatan strategik peringkat tinggi dengan  pihak AS, memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-AS (TIFA).

“MITI juga sedang mempertimbangkan pewujudan perjanjian perlindungan teknologi untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia, di samping pengecualian sektor juga akan dirundingkan.

“Pagi ini, saya telah bertemu dengan Duta AS dan pasukannya, dan kita akan terus berunding dengan AS,” katanya.

Di peringkat domestik, Tengku Zafrul berkata, usaha juga sedang dijalankan untuk mengukuhkan dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia.

“MATRADE secara proaktif telah memperluas jangkauan eksport Malaysia ke wilayah seperti Timur Tengah (termasuk melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Afrika, dan Amerika Selatan,” katanya.

Usaha di peringkat dasar MITI termasuk langkah meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedia ada.

Beliau berkata antara inisiatif berkaitan FTA adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriah Arab Bersatu pada 14 Jan, 2025, yang dijangka meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 60 peratus dalam tempoh lima tahun; penyambungan semula rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah dan rundingan FTA dengan Korea Selatan.

Inisiatif lain termasuk naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) ketika kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, serta langkah naik taraf FTA ASEAN lain, termasuk dengan China dan India, serta rundingan mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA - Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan