Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 21 Mei (Bernama) -- Algeria muncul sebagai pasaran yang menarik bagi minyak sawit Malaysia susulan industri makanan negara itu yang semakin rancak dan berkembang, kata Duta Besar Malaysia ke Algeria.
Eksport minyak sawit Malaysia ke Algeria meningkat hampir 82 peratus kepada kira-kira 79,000 tan pada 2024.
Walaupun bahagian minyak sawit masih kecil dalam jumlah import minyak masak tahunan Algeria sebanyak 980,000 tan, permintaan masa depan mungkin didorong oleh industri makanan diproses di negara itu yang semakin berkembang.
“Algeria menawarkan potensi besar bagi penggunaan minyak sawit dalam masakan, produk marjerin, lemak khusus, keju berasaskan sawit, konfeksi, snek dan krimer bukan tenusu,” kata Duta Besar Rizany Irwan Muhamad Mazlan.
Algeria bergantung kepada import bagi memenuhi 75 peratus daripada keperluan minyak masak tahunannya.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan empat syarikat Malaysia pada April lepas telah menyertai pameran industri pertanian terbesar Algeria, Djazagro untuk meneroka peluang perdagangan dan perniagaan.
Pameran perdagangan yang diadakan di Algiers itu menarik penyertaan 540 pempamer dari 38 negara.
“Algeria merupakan antara ekonomi terkemuka di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, dan Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengannya,” kata Rizany kepada Bernama.
Selain peningkatan permintaan minyak sawit dalam segmen seperti konfeksi dan snek, Malaysia turut melihat peluang kerjasama dalam bidang oleokimia, penapisan dan penyelidikan produk.
“Penyertaan dalam Djazagro menawarkan platform berharga kepada syarikat Malaysia untuk mempamerkan produk dan berinteraksi dengan bakal pembeli dari Algeria. Lebih banyak interaksi seperti ini diperlukan,” kata Rizany.
Duta Besar Malaysia baru-baru ini turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Algeria (CACI), Hamenni Kamel bagi meningkatkan penglibatan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Algeria.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada bidang seperti ekonomi digital, pelancongan, industri halal dan promosi pelaburan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial